Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images

Tidak seperti gimik menarik perhatian seperti memecahkan botol arak, membawa keranda dan memakai tuala, hari ini, pemimpin Gerakan Baju Merah Datuk Seri Jamad Md Yunos membekalkan makanan percuma.

Ikrarnya jamuan percuma akan diberikan kepada 1,000 rakyat setiap hari selama tiga tahun, kecuali Sabtu dan Ahad. Beliau membuat janji itu sempena dengan perasmian Restoran Gabungan NGO 1Malaysia hari ini.

Katanya, usaha itu dibuat berikutan keinsafan bahawa harta dunia tidak boleh dibawa ke akhirat.

“Kesedaran ini datang dari sahabat saya, yang telah meninggal dunia dua bulan lepas, ketika saya kebumikan dia itulah datang kesedaran.

“Dalam dunia ini berapa banyak pun harta yang kita cari tak pergi ke mana,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Restoran Gabungan NGO 1 Malaysia di Jalan Pahang Kuala Lumpur hari ini.

Pemimpin Umno itu berkata, pembukaan restoran berkenaan perlu di war-warkan secara meluas supaya orang ramai, khususnya yang kurang berkemampuan boleh menikmati makanan secara percuma.

Jamal berkata, beliau menerima sumbangan daripada pelbagai golongan korporat yang tidak mahu dikenali bagi membolehkan usahanya dijalankan.

“Penyumbang kepada program ini tak mahu menampilkan diri dan tak mahu nama mereka diketengahkan, mereka kata sedekah.

“Jadi untuk tiga tahun akan datang kita punyai dana yang cukup. Dana ini saya yakin berterusan. Saya yakin ramai lagi orang korporat akan tampil.

“Jika sambutannya bagus, diterima baik oleh lapisan masyarakat. Saya akan usahakan di Sekinchan,” katanya yang juga adalah ketua Umno bahagian Sungai Besar.

Jamal turut menganggarkan perbelanjaan pengurusan makanan adalah sebanyak RM5,000 sehari berdasarkan harga sepinggan nasi berserta lauk adalah kira-kira RM5.

Restoran tersebut beroperasi dari Isnin hingga Jumaat antara jam 11 pagi hingga 3 petang dengan menampil tujuh menu yang sentiasa bertukar antaranya pilihan nasi putih, nasi minyak, ayam masak merah, kari ikan, jagung rebus, ikan goreng, ikan sambal dan sayur.

Jamal berkata sebanyak 15 orang pekerja menjadi sukarelawan di restoran tersebut.

Restoran tersebut mempunyai konsep makan sampai kenyang dan pengunjung perlu mencuci pinggan mereka sendiri.

Sementara itu Jamal menolak bahawa usahanya itu mempunyai unsur politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Bila saya kata ia untuk tiga tahun akan datang, ia tak melibatkan PRU, tempat makan ini jangan dijadikan bahan politik.

“Saya alu-alukan kawan-kawan politik tak kira dari DAP, PKR, PAS asalkan mereka rakyat Malaysia boleh datang.

“Inilah konsep muhibah. Kalau nak kata kami rasis, inilah konsep yang kami buat dan ia untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Lihat Komen
ADS