Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dokumen sebabkan pengharaman nama Allah di bawah OSA

Dokumen Kabinet yang menyebabkan larangan penggunaan perkataan "Allah" oleh orang bukan Islam pada 1986 tidak dapat dikemukakan di mahkamah kerana ia diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Nor Bee Arifin menolak permohonan Sidang Injil Borneo (SIB) dan presiden bahagiannya di Sabah, Jerry Dusing, supaya dokumen-dokumen ini dikeluarkan, tanpa sebarang kos.

Keputusan itu dibuat dalam kamar dan disampaikan kepada media oleh peguam SIB, Annou Xavier dan peguam kanan persekutuan, Shamsul Bolhassan, yang mewakili Kementerian Dalam Negeri.

"Salah satu sebab yang diberikan ialah dokumen itu diklasifikasikan di bawah OSA. Mahkamah juga merasakan bahawa dokumen itu tidak perlu didedahkan di bawah permohonan kehakiman," kata Xavier di luar kamar mahkamah.

SIB memfailkan permohonan penzahiran untuk mengetahui bagaimana perkataan "Allah" menyebabkan kekeliruan dan menjadi ancaman kepada keselamatan awam, sebagaimana yang diperkatakan oleh kerajaan ketika itu.

Menurut Xavier, mahkamah memutuskan bahawa sebab-sebab yang diberikan oleh kerajaan untuk menganggap penggunaan kata itu mengancam keselamatan awam adalah mencukupi.

Sementara itu, Shamsul mendakwa mahkamah mengatakan bahawa ia tidak mempunyai kuasa untuk meminta Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan dokumen OSA.

Mahkamah juga menetapkan 1 November bagi pengurusan kes untuk menetapkan tarikh prosiding.

SIB dan Dusing memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar penyitaan buku agama yang mengandungi perkataan "Allah" yang dibawa dari Indonesia pada tahun 2007.

Walaupun buku itu dikembalikan ke gereja pada tahun 2008, SIB dan Dusing meminta izin Mahkamah Rayuan memulakan semakan kehakiman untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa mereka mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan "Allah" dalam terjemahan Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia.

Mereka diberi kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman oleh Mahkamah Rayuan pada tahun 2014.

Lihat Komen
ADS