Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bomba anjurkan latihan menyelamat besar-besaran di Pasir Gudang

Orang ramai khususnya penduduk kawasan Pasir Gudang diminta tidak panik apabila melihat Latihan Khas Pasukan Operasi dan Tindak Balas Mekanisme (EX-STORM) di beberapa lokasi di kawasan berkenaan pada 21 dan 22 Okt ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Penguasa Kanan Bomba I Mohd Rizal Buang berkata latihan berkenaan yang dijalankan jabatan itu dijangka berlangsung selama 13 jam bermula 7 malam dan tamat pada 8 pagi keesokan harinya.

Beliau berkata latihan EX-STORM ke-19 itu akan melibatkan lima kawasan iaitu Pelabuhan Tanjung Langsat, Kilang Lotte Chemical Titan, Kilang CCM Chemicals, Kuarters Kastam dan Imigresen Pasir Gudang serta Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

"Ini kali pertama kita menjalankan latihan EX-STORM melibatkan lima kawasan. Tujuan kita memilih Pasir Gudang kerana ia kawasan industri dan ini merupakan langkah-langkah persediaan keselamatan yang dijalankan sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

"Senario utamanya jika gempa bumi di Pasir Gudang, latihan pelanggaran kapal dan lemas di Tanjung Langsat, latihan kebakaran di Lotte Chemical Titan, latihan kimia di CCM Chemicals, latihan bangunan runtuh di Kuarters Kastam dan Imigresen serta latihan pemindahan mangsa di Stadium MPPG," katanya.

Simulasi bangunan runtuh

Beliau seterusnya berkata latihan itu tidak akan melibatkan sebarang bentuk api serta bahan letupan dan tidak akan mengganggu perjalanan waktu kerja serta operasi kilang-kilang terlibat.

“Lebih menarik pada latihan kali ini, Kuarters Kastam dan Imigresen secara kebetulan akan dirobohkan, jadi kita mengambil kesempatan ini untuk membuat simulasi bangunan runtuh di kawasan berkenaan selepas ia dirobohkan," katanya.

Mohd Rizal berkata 700 personel daripada 100 agensi akan terlibat dalam latihan itu antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Meteorologi.

Katanya latihan itu turut melibatkan Pasukan ‘For Real’ JBPM sekiranya berlaku kecederaan sebenar kepada mereka yang terlibat, selain pergerakan daripada jabatan-jabatan di daerah lain seperti Batu Pahat dan Melaka bagi mewujudkan situasi memerlukan bantuan daripada luar.

Beliau berkata semasa latihan berkenaan, balai-balai bomba dan polis yang terlibat akan beroperasi seperti biasa.

"Tujuan latihan ini untuk menguji kesiapsiagaan pelbagai agensi dalam menghadapi insiden dan bencana secara berkesan, menguji keberkesanan pengurusan bencana mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara serta menguji koordinasi penyaluran bantuan kepada agensi termasuk agensi sokongan semasa bencana.

"Dari segi strategi, kita akan aplikasikan pelan tindakan seragam, yang akan dikoordinasikan semua agensi semasa operasi, menyediakan garis panduan dan pembetulan serta penambahbaikan secara berterusan semasa operasi itu di samping mengadakan perkongsian pengetahuan dan kemahiran antara agensi," katanya.


-Bernama
 

Lihat Komen
ADS