Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Petani Kedah akan hantar memo minta kecuali GST

Pertubuhan Peladang Negeri Kedah (PPNK) akan menghantar memorandum untuk mengecualikan Cukai Barang dan Perkhdmatan (GST) terhadap barangan dan perkhidmatan yang terpaksa ditanggung petani selama ini.

Pengerusi Jemaah Pengarahnya, Datuk Abdul Lateh Mohd Saman berkata memorandum itu akan disiapkan secepat mungkin sebelum diserahkan kepada Kementerian Kewangan bagi mempertimbangkan semula sistem percukaian yang membebankan petani itu.

“Kita mengadakan mesyuarat agung hari ini dan akan mengusulkan perkara berkenaan melalui memorandum kepada pihak kerajaan...ini kerana GST yang dikenakan terhadap barangan pertanian dan perkhidmatan pengangkutan sangat membebankan petani,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan PPNK kali ke-34 di Alor Setar, hari ini.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah merasmikan mesyuarat agung itu.

Kerajaan negeri sokong memo

Abdul Lateh berkata dengan cukai GST yang dikenakan kepada petani, mereka terpaksa menanggung beban kos tambahan sebanyak 30 peratus.

”Perkara ini yang mendapat rungutan petani yang mana untuk mengangkut baja, benih padi, upah traktor dan mesih jentuai turut dikenakan GST, ini tidak termasuk kos lain yang terpaksa dibayar petani bagi barangan input-input pertanian,” katanya.

Abdul Lateh juga meminta pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengadakan penjadualan semula tanaman padi supaya tidak berlaku lambakan padi.

“Jadual penanaman nampak masalah, kita selalu tabur serentak maka akan dapat pengeluaran padi serentak dan lambakan berlaku menyebabkan pengilang tidak mahu beli dan buat potongan tinggi yang memberi kesan kepada petani,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Bashah menyokong memorandum terbabit demi untuk melihat petani di negeri ini tidak terus terbeban dan dihimpit kos hidup yang semakin meningkat.

“Kerajaan negeri sokong memorandum yang hendak dibawa kerana mereka menghasilkan beras untuk memenuhi keperluan rakyat…saya percaya kerajaan akan melihat masalah ini dengan baik dan terserah kepada perdana menteri untuk memutuskan,” katanya.

Ahmad Bashah juga meminta para petani tidak bergantung kepada penanaman padi sebagai sumber pendapatan utama sebaliknya terlibat dengan tanaman hiliran lain seperti sayur-sayuran dan cendawan Volvariella yang lebih menguntungkan dengan mendapat bimbingan daripada jabatan dan agensi berkaitan.

 

-Bernama

 

Lihat Komen
ADS