ULASAN l Minggu lalu, apabila artikel saya bertajuk “My mom said mooncakes are non-halal" (“Mak kata kuih bulan tak halal”) tersiar di Malaysiakini, saya menerima satu mesej daripada seorang pembaca yang bernama Rani.
Memandangkan perayaan Deepavali akan tiba tak lama lagi, Rani memutuskan untuk berkongsi kisahnya.
Kata Rani:
“Fa, tak lama dulu, setiap kali musim Deepavali, rakan-rakan saya dan suami gemar bertandang ke rumah kami untuk menikmati tosai dan kari kambing hasil air tangan saya. Tapi tak lama setelah itu, segelintir daripada mereka mula bertanya jika kari kambing yang saya hidangkan itu halal atau sebaliknya dan seandainya ia disembelih oleh orang Melayu. Setelah itu, mereka dengan perlahan berhenti bertandang dan mula memberikan pelbagai alasan.
“Segelintir rakan sekerja pula masih sudi menghadiri rumah terbuka kami, namun enggan makan masakan yang kami hidangkan kecuali kuih-muih sahaja. Tapi paling teruk adalah apabila mereka mula mempersoalkan kehalalan kuih pula. Akhirnya mereka hanya menjamah kuih yang dibeli daripada penjual Melayu manakala kuih yang disediakan di rumah langsung tak tersentuh.
“Saya juga mempunyai anjing di rumah. Walaupun saya memastikan ia kekal dalam sangkarnya apabila pelawat mengunjung, rakan-rakan Muslim saya tetap berasa kurang selesa apabila mengetahui saya mempunyai anjing peliharaan.
“Bukan itu sahaja, Fa. Saya sekeluarga sebenarnya sudah tinggal di taman perumahan yang sama selama 23 tahun. Pada masa dulu, saya sering menghantar tosai, putu mayam, kari kambing dan pelbagai jenis kuih tradisional masyarakat India kepada jiran tetangga - mereka selalu menerimanya dengan senang hati. Bagaimanapun, sejak tiga tahun yang lalu, beberapa jiran yang saya kunjungi di pagi Deepavali menolak pemberian ikhlas saya lalu menghantar saya pulang bersama bekas-bekas makanan yang telah saya sediakan untuk mereka – rasa malu pun ada, rasa hiba pun ada juga.
“Tapi senario ini tidak hanya berlaku semasa Deepavali, Fa. Salah satu pengalaman paling menyakitkan hati yang pernah saya alami adalah apabila saya menjemput kawan-kawan dan jiran-jiran saya untuk ke majlis perkahwinan anak perempuan saya dua tahun yang lalu. Bertempat di sebuah dewan, saya memesan makanan dan minuman dari sebuah restoran India yang berstatus halal. Malangnya, kebanyakan rakan Muslim yang datang enggan menunggu untuk makan malam, kecuali beberapa teman sahaja, selebihnya tekad meninggalkan dewan setelah menyampaikan angpau.
"Setelah melalui pengalaman tersebut selama bertahun, kini saya mengambil keputusan untuk tidak lagi mengundang kenalan yang beragama Islam untuk turut serta dalam apa-apa majlis yang keluarga saya adakan.
“Walaupun berat hati saya kerana tidak dapat meraikan hari gembira bersama rakan-rakan, namun saya sedar bahawa mereka jualah yang menanggung rugi yang teramat kerana tidak lagi mampu menikmati tosai serta kari kambing saya."
Setelah membaca mesej Rani, saya berasa agak sedih. Kisah Rani mengingatkan saya kepada patti (nenek dalam Bahasa Tamil) yang merupakan jiran di kampung saya semasa zaman kanak-kanak dulu. Patti adalah seorang wanita berusia, berbadan kecil serta hanya mempunyai sebelah mata sahaja. Beliau tinggal bersama tata (datuk dalam Bahasa Tamil) serta lima orang anaknya.
Keluarga 'patti'
Saya dan abang saya yang rajin berbasikal keliling kampung ketika itu memang agak obses dengan keluarga patti kerana cara mereka agak berbeza daripada keluarga kami sendiri. Kami berdua pelik melihat mereka membakar kemenyan dan membunyikan loceng setiap kali masuk waktu Maghrib; meninggikan bunyi radio melalui pembesar suara setiap kali lagu MGR ke udara; melukis bentuk yang berwarna-warni di atas lantai, luar pintu pagar rumah mereka; memetik bunga melur setiap pagi untuk kegunaan kuil mini mereka; dan membiarkan bekas perak berisi susu di luar busut di belakang rumah mereka setiap petang.
Seperti kata saya, patti sekeluarga sememangnya agak pelik – tetapi mungkin itulah sebabnya saya dan abang gemar memerhatikan mereka.
Tak lama kemudian, tibalah musim perayaan Deepavali – itulah Deepavali yang pertama sejak patti menjadi jiran kami. Saya ingat lagi, patti berserta anak-anaknya membawa dulang besar berisi muruku, kuih- muih, kek dan puding ke rumah kami. Sebagai seorang kanak-kanak berumur lima tahun, saya sememangnya seronok menerima kedatangan patti membawa semua makanan kegemaran saya.
Kenangan itu masih segar di ingatan, saya membantu ibu mengosongkan dulang patti dan menggantikannya dengan gula kasar sebelum mengembalikannya. Menurut ibu, Deepavali adalah masa penuh keriangan bagi patti dan keluarganya – tindakan patti berkongsi makanan istimewa sempena Deepavali adalah seolah-olah berkongsi keriangan tersebut bersama kami. Bagi membalas hati baik patti yang mahu berkongsi keriangan tersebut, menurut ibu, kami harus membalasnya dengan sedikit keriangan dari rumah kami sendiri, yakni dalam bentuk sedikit kemanisan gula kasar.
Setiap musim Deepavali yang menjenguk sejak dari hari itu, patti dan keluarganya tidak lokek berkongsi kegembiraan dan kebahagiaan mereka dengan keluarga kami. Dan seolah-olah itu tak mencukupi, kedua keluarga kami mula berkongsi masakan, buah-buahan dan barangan lain juga dari masa ke semasa. Setiap kali mereka menghantar 'athirasam', 'vadai' dan ayam 'varuval', mak pula akan menghantar mereka sedikit kebahagiaan daripada dapur kami sendiri.
Kini sudah hampir sepuluh tahun patti meninggal dunia. Namun keluarga kami masih terus menerus berkongsi banyak detik-detik keriangan. Tetapi ada juga masanya kami kecil hati antara satu sama lain – contohnya tabiat keluarga patti yang gemar membela banyak anjing menyebabkan mak dan ayah saya sukar tidur malam dek salakan anjing di malam-malam buta; serta tabiat adik saya yang suka bermain dram di waktu petang ketika cucu-cucu patti mahu tidur - tetapi berkat hubungan rapat yang kedua keluarga kami kongsi, segala masalah dan sengketa mampu kami atasi dengan baik.
Sesungguhnya keluarga saya amat mempercayai keluarga patti sehinggakan apabila mak dan ayah saya ke kota suci Mekah untuk menunaikan ibadah haji, mereka meninggalkan kunci rumah dengan anak-anak patti yang lapang dada membantu menyiram pokok-pokok serta menjaga rumah lebih daripada satu bulan lamanya. Dan apabila mak ayah kembali dari tanah suci, anak-anak dan cucu patti datang dengan ikhlas untuk melawat mereka.
Walaupun patti dan keluarganya berbeza agama daripada kami, tetapi setelah lebih tiga dekad hidup bersebelahan satu sama lain, bagi mak dan ayah, patti sekeluarga adalah 'keluarga' kami yang paling dekat. Malah, sekiranya terdapat kes kecemasan, keluarga patti menjadi harapan dan tempat bergantung mak dan ayah saya – pastinya keluarga Patti juga berpendapat sedemikian.
Walaupun pengalaman Rani bersama jiran, rakan setugas serta sahabat Muslimnya agak perit, pada firasat saya, bukan semua yang sedemikian – masih ramai lagi orang Muslim dan bukan Muslim yang tinggal di negara ini mampu membina pertalian yang agak erat sesama mereka, seperti keluarga saya serta keluarga patti.
Besarlah harapan saya agar satu hari nanti, jiran-jiran, rakan sekerja dan kawan-kawan Rani yang selama ini mempersoalkan kehalalan masakannya serta memperlekehkan jemputannya, akan diberikan pedoman bagi mencari jalan semula ke rumahnya di musim Deepavali di masa hadapan. Lagipun, tidak harus bagi sesiapa untuk menolak rezeki memakan tosai panas yang garing serta kari kambing yang istimewa sempena Deepavali.
Selamat Hari Deepavali.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
