Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA: Berhenti jadi pengecut, tiada pendirian
Diterbitkan:  Oct 19, 2017 2:00 PM
Dikemaskini: 6:01 AM

MCA mengecam Lim Guan Eng sebagai pengecut (gutless) dan tiada pendirian (spineless) kerana didakwa bersembunyi di sebalik kenyataan ahli exconya yang membenarkan penceramah agama Shahul Hamid Seeni Muhammad menyampaikan ceramah kontroversinya yang tular baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA Ti Lian Ker, ceramah Shahul Hamid Seeni Muhammad yang menyentuh isu gunting rambut, sekolah dan ucapan hari lahir antara muslim dan bukan muslim mengandungi unsur yang memecahbelahkan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

“Lim cuba bersembunyi di sebalik kenyataan Exco Hal Ehwal Agama Pulau Pinang Abdul Malik Kassim yang berkata Shahul Hamid mempunyai hak kepada ajaran berunsur Talibannya,” kata Ti dalam satu kenyataan.

“Apa pendirian DAP tentang ceramah berunsur Taliban hari ini?” soal Ti.

Pemimpin MCA itu merespons kepada klip video penceramah agama Shahul Hamid Seeni Muhammad yang memberi amaran kepada wanita Muslim agar tidak mengunjungi kedai gunting rambut bukan muslim yang tular di laman sosial.

Dalam klip video yang dirakam pada 2015 itu, Shahul Hamid berkata haram bagi golongan lelaki Muslim gunting rambut dengan penggunting rambut wanita, selain menambah wanita bukan Muslim juga tidak boleh menyentuh rambut wanita Muslim.

Dalam video lain yang dirakam pada 2015, Shahul Hamid juga berkata haram bagi Muslim mengucapkan “happy birthday”.

Selain itu, dalam ceramahnya dia juga mendakwa haram bagi ibu-bapa Muslim menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina.

Lagakan masyarakat pelbagai agama

Selain Abdul Malik, pegawai penerangan ketua menteri pulau pinang itu, Wan Ji Wan Hussin juga merespons kepada kritikan yang mendakwa Pulau Pinang mengambil “pendekatan mesra” terhadap ceramah kontroversi Shahul Hamid.

“Ini melanggar saranan Majlis Raja-raja agar ceramah berunsur Taliban dan mengandungi kebencian serta memecahbelahkan rakyat di Malaysia perlu dihentikan,” kata Ti, yang juga merupakan jurucakap publisiti MCA.

“DAP dan pemimpin veterannya Lim Kit Siang sejak berdekad lamanya begitu cepat merespons sekecil-kecil provokasi agama atau kaum dan menggesa MCA menyatakan pendirian menentang,” tambahnya.

“DAP akan melagakan masyarakat Cina dengan golongan Muslim atau Melayu dengan menyalahkan Umno atau melagakan MCA dengan golongan Melayu serta Muslim,” kata Ti.

“Tidak pernah wujud kata-kata toleransi daripada DAP untuk memahami situasi MCA yang perlu menghormati realiti bahawa ini negara pelbagai kaum yang didominasi oleh Melayu Muslim,” kata Ti.

Dia juga mempersoal jika DAP hari ini bersetuju dengan pendekatan mesra  Wan Ji terhadap ceramah berunsurkan Taliban dan pengiktirafan Abdul Malik terhadap hak Shahul untuk menyampaikan ceramahnya.

"MCA tidak menerima putar-belit dan sikap pengecut Lim yang bersembunyi di belakang dua individu yang bukan ahli DAP.

"DAP sentiasa bertegas agar presiden MCA membuat pendirian yang jelas ke atas semua isu sensitif meskipun MCA berulang kali membuat kenyataan," kata Ti.

"Sampai masanya untuk Lim atau Kit Siang buat (mengumumkan) keputusan mereka untuk terima dan mengiktiraf ceramah berunsur Taliban Sharul sebagai hak dan kebebasannya kepada semua.

"Berhenti bersembunyi seperti pengecut. Berhenti putar-belit melalui orang bawahan," kata Ti.

[Berita penuh]

Lihat Komen
ADS