Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Majlis agama Pulau Pinang akan siasat Shahul Hamid

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Kassim berkata tindakan akan diambil terhadap para pendakwah atas kenyataan mereka yang 'tidak dimahukan dan disampaikan dengan cara yang kurang elok', termasuklah yang menyentuh sensitiviti masyarakat lain.

Abdul Malik berkata pendakwah yang dimaksudkan, Shahul Hamid Seeni Muhammad dengan kilp video berkaitan isu pendandan rambut, persekolahan dan ucapan salam di antara masyarakat menjadi tular baru-baru ini, akan disiasat di bawah undang-undang agama negeri.

"Pendakwah sedemikian yang melanggar undang-undang akan disiasat di bawah Seksyen 11, Enakmen Pentadbiran Islam Pulau Pinang 1996, jadual ke tiga belas.Tindakan boleh diambil terhadap beliau oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang," Abdul Malik memberitahu wartawan hari ini.

"Undang-undang berkaitan dengan pengajaran dan penyebaran agama Islam sangat jelas, kesemua pendakwah perlu patuh dengan syarat-syarat yang dikenakan, termasuklah larangan daripada menyentuh sensitiviti budaya, kaum dan agama masyarakat setempat, yang boleh menimbulkan ketegangan di antara kaum," tambah Abdul Malik dalam sidang akhbar.

Abdul Malik (gambar kanan) berkata majlis agama Islam negeri sedang menyemak rekod-rekod bagi melihat jika Shahul Hamid telah diberi tauliah untuk berceramah atau mengajar Islam di Pulau Pinang.

Beliau menambah untuk mengajar atau berceramah mengenai Islam, seseorang guru atau pendakwah itu perlu untuk mendapatkan tauliah kelulusan daripada Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

Salah ucap 'selamat hari lahir'

Majlis itu akan memproses permohonan di bawah jawatankuasa yang dipengrusikan mufti negeri.

"Jika seseorang pendakwah itu tidak menepati syarat-syarat yang dikenakan oleh majlis, kami boleh memulakan prosiding untuk mendakwanya di mahkamah," kata Abdul Malik.

Beliau merujuk kepada klip video Shahul Hamid pada 2015 yang tular yang menyebut amaran kepada wanita Muslim agar tidak mengunjungi salon rambut bukan Muslim.

Dalam video itu, Shahul Hamid mengingatkan wanita Muslim tidak membenarkan pendandan rambut bukan Islam daripada menyentuh rambut mereka.

Beliau juga ditampilkan dalam sebuah video lain pada 2015 yang menyatakan adalah salah bagi orang Islam mengucapkan 'selamat hari lahir'.

Menurut Shahul Hamid juga adalah haram bagi ibu bapa Muslim menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran Cina.

Pada Julai 2014,  Shahul Hamid pernah memohon maaf secara terbuka, terutama kepada masyarakat India, selepas rakaman video kenyataannya yang dianggap menghina penganut agama Hindu, tersebar luas di Internet.

Shahul Hamid pernah menjadi finalis rancangan televisyen Pencetus Ummah pada 2014, sebuah program realiti Islamik terbitan Astro yang mencari bakat penceramah lelaki Muslim.

Lihat Komen
ADS