Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis rampas ganja bernilai RM1.58 juta di Kuala Kedah

Polis merampas 533 ketulan ganja mampat seberat 527.9 kilogram bernilai RM1.58 juta dalam operasi di sekitar kawasan Kuala Kedah dekat Alor Setar awal pagi semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata dadah itu dipercayai dibawa dari negara jiran dan transit di Satun, Thailand sebelum diseludup masuk ke negara ini.

Beliau berkata dalam operasi bermula 6.20 pagi hingga 7.40 pagi itu polis turut menahan empat lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 33 tahun yang disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah ke negara ini.

“Dalam serbuan pertama, seorang lelaki berusia 33 tahun ditahan ketika memandu kenderaannya ke Kuala Lumpur di persimpangan lampu isyarat Jalan Kuala Kedah berdasarkan hasil risikan yang dibuat sebelum ini.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan suspek menemukan 533 ketulan ganja bernilai RM1.58 juta yang diletakkan di bahagian bonet kereta yang ditutup menggunakan kain bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Setar, hari ini.

Rampasan terbesar

​Beliau berkata dalam serbuan kedua kira-kira sejam kemudian, polis berjaya menahan tiga lelaki di sekitar muara Sungai Kuala Kedah yang dipercayai turut terlibat dalam sindiket sama.

“Mereka juga bekerja sebagai pemunggah dadah-dadah itu dari bot ke dalam kenderaan manakala hasil siasatan lanjut terhadap suspek pertama berumur 33 tahun yang ditangkap ini mendapati dia mendapat upah RM3,000 membawa bekalan dadah ini,” katanya.

Mohmad berkata bekalan dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan termasuk di Sabah dan Sarawak dan rampasan itu merupakan yang terbesar setakat tahun ini.

Katanya ketiga-tiga suspek didapati positif dadah dalam keputusan ujian saringan urin manakala suspek pertama berusia 33 tahun bebas bahan terlarang itu.

Beliau berkata kesemua suspek direman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS