Seorang aktivis pelajar Universiti Sains Malaysia Kamarulzaman Abdullah dipanggil polis hari ini untuk membantu siasatan berhubung risalah yang didakwa diedar oleh Puteri Umno.
Risalah itu dilaporkan menyelar USM dan menggesa universiti menggambil tindakan terhadap Kamarulzaman kerana terbabit dengan sebuah pertubuhan tidak berdaftar, Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis).
Ketua pergerakan wanita muda Umno itu, Azalina Othman, membuat laporan polis di balai Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 18 Julai, sementara aktivis pelajar itu beberapa hari sebelumnya telah mengadu hal yang sama kepada Jabatan Keselamatan universiti agar menyiasat pengedaran risalah berkenaan.
Dalam aduannya, seperti dilaporkan Harian Metro Khamis, Azalina menafikan beliau mengarahkan pengedaran risalah itu atau mengeluarkan kenyataan seumpama itu.
Akhbar itu melaporkan risalah, dikaitkan dengan Puteri Umno, "mengatakan Kamarulzaman sebagai golongan yang bertopengkan serban, jubah dan menjadi alat kepada (parti) pembangkang."
Kamarulzaman dipanggil ke ibu pejabat polis daerah Timur Laut Georgetown, Pulau Pinang jam 2 petang tadi. Beliau berada di sana lebih sejam.
Apabila dihubungi malaysiakini hari ini, Kamarulzaman berkata risalah berbentuk poster itu telah ditampal di asrama-asrama di kampus itu.
Malaysiakini difahamkan, poster yang bersaiz tabloid itu berwarna hitam dan putih (dipercayai salinan fotostat) dan mempunyai lambang parti Umno serta nama Puteri Umno.
Menurut aktivis pelajar itu, beliau sendiri hanya mengetahui mengenai poster itu selepas dimaklumkan oleh kakitangan keselamatan USM.
Sementara menurut laporan akhbar itu, Azalina pula hanya menyedari kejadian itu selepas dihubungi Ketua Puteri Umno bahagian Bayan Baru, Pulau Pinang.
