Sebuah laman web pembangkang, yang dibuang daripada syraikat Tripod.com Mac lalu, hingga kini masih ditolak oleh beberapa pelayan dan masalah ini dikaitkan dengan "tekanan kerajaan."
Laman web Tranung Kite (atau Terengganu Kita), diusahakan oleh sekumpulan aktivis PAS kawasan Dungun, telah berpindah sebanyak lima kali daripada pelayan syarikat Tripod.com dan NBCi.com, yang memberikan khidmat percuma webhosting (menempatkan tapak web) kepada pengguna Internet.
Setelah laman itu pulih daripada masalah itu 20 Mac lalu, bersama lebih 20 laman web proreformasi dan pembangkang lain, Tranung Kite yang asalnya beralamat di tranung.tripod.com memindahkan operasi ke tranung.daily.tripod.com. Bagaimanapun ia hanya bertahan selama dua minggu.
Empat bulan lalu, laman-laman web proreformasi yang berdaftar dengan Tripod.com tetapi gagal dicapai beberapa termasuklah Mahafiraun , Komentar , Pemantau , Minda Rakyat , Debat 2020 , NT (anti) Zalim , sementara laman pertubuhan antaranya Harakah Daily (laman sokongan), Detik Daily (milik syarikat Penerbitan Pemuda), Pemuda Keadilan, PAS Parit Buntar, Perak dan tiga laman web yang diusahakan PAS Dungun.
Syarikat penyedia tapak web percuma itu bagaimanapun memohon maaf apabila mendapati kejadian itu tidak disengajakan dan akibat masalah teknikal.
Tanpa sebarang alasan
Menurut pengendali Tranung Kite hari ini, yang tidak mahu dikenali, setiap kali laman itu dialihkan ke alamat URL yang baru tetapi masih di pelayan Tripod.com, laman itu diberitahu ia "melanggar peraturan" syarikat itu.
Dalam mesej kepada pengendalinya, Tripod.com menyifatkan laman itu "menyalahgunakan" kemudahan di pelayannya.
Laman itu kemudian berpindah ke alamat baru di pelayan syarikat lain di members.nbci.com/tranung tetapi tiga minggu kemudian mengalami masalah serupa seperti di Tripod. Operasi itu dipindahkan pula ke syarikat NBCi.com menggunakan alamat baru members.nbci.com/tranungkite tetapi bertahan selama seminggu sebelum laman itu "hilang."
NBCi.com tidak memberikan sebarang alasan, pengendali Tranung Kite memberitahu malaysiakini .
Pengendali laman PAS itu mengesyaki terdapat tekanan daripada kerajaan untuk menghalang penerbitan laman webnya.
"Kami menganggap masalah ini timbul kerana ada usaha untuk menyekat operasi laman web kami. Ia adalah tekanan yang cuba dilakukan oleh kerajaan kepada pengendali laman ini," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menjelas lanjut bentuk "tekanan" yang dimaksudkannya.
Aktivis PAS itu menolak simpanan memori besar yang menyebabkan laman itu menghadapi masalah demikian.
Arkib masih selamat
(Penyedia tapak-tapak web percuma di Internet selalunya mengehadkan laluan, atau jumlah pengunjung, dan memori kepada laman-laman yang menggunakan khidmat mereka. Laman yang terlalu aktif dan memakan saiz simpanan memori yang besar tidak dibenarkan kerana menghalang laluan pengunjung ke laman-laman web lain yang ditempatkan di pelayan itu).
"Jika dibandingkan dengan laman web TV (rtv.tripod.com) yang turut saya kendalikan, Tranung Kite tidak mengunakan begitu banyak simpanan memori," katanya.
Bagaimanapun, tambahnya, masalah pembuangan dan perpindahan laman web itu tidak melibatkan kehilangan 7,000 fail yang terkumpul sejak beroperasi Disember 1999. Arkib laman ini diletakkan di beberapa tapak lain.
Menurutnya lagi, laman itu sehingga kini bergantung kepada tapak web percuma kerana kos untuk menyewa ruang di pelayan komersial memerlukan sejumlah wang yang besar.
Pada 17 Julai, Tranung Kite berpindah lagi ke tapak baru Geocities.com, dengan alamat clik.to/tranung .
Malaysiakini tidak menerima sebarang maklumat berhubung masalah seumpama itu daripada laman-laman web pembangkang dan proreformasi yang lain.
Pengkritik kerajaan mula menggunakan Internet untuk menyalurkan maklumat politik secara aktif sejak pemecatan timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.
