Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Pada konvesyen yang bersejarah ini, AMANAH Perak memilih untuk membahaskan persoalan perubahan. AMANAH Perak akan lebih menjurus untuk membincangkan persoalan ‘perubahan’ dalam konteks kita. Istilah ‘perubahan’ adalah merujuk satu dinamika dalam norma kehidupan bermasyarakat agar lebih berdaya maju.  Yang kita perlukan adalah perubahan yang membawa rahmah. Bukan perubahan yang memusnah sesuatu yang sedia baik. 

Tinggi-tinggi kelapa bali

kental berdiri akar di bumi

walau bermusim di terik mentari,

tidak sekali lupakan diri.

(Akar Dan Bumi - Amuk)

Parti Amanah Negara (AMANAH) dibina sebagai wadah perjuangan baru untuk memenuhi tuntutan kepada perubahan yang diperlukan oleh rakyat. Sesekali kita tidak berganjak dalam perjuangan kita: 

Allahhu rabbuna

Ar-rasul qudwatuna

Al-Quran dusturuna

Al-jihad fi sabilana

Al-mautu fi sabillah, asma amanina

(Al-Amal)

Jenuh kita menanggung tohmahan sebagai barua, pengkhianat, munafik dan sebagainya. Ini bukanlah sesuatu yang baru dalam sejarah manusia berkonflik dalam politik. 

Kelompok minoriti yang ekstrem ini sentiasa wujud dalam sejarah mana-mana masyarakat di dunia. Untuk itu kita harus perbaharui pendekatan agar terus kekal pada landasan semasa dan tuntutan agama. 

Kita bukan mahu perubahan kulit, seperti penukaran istilah daripada pengerusi tetap menjadi tuan speaker; muktamar kepada konvensyen, hijau ke oren, simbol kosong ke 'A' dan sebagainya. Itu perubahan kulit. Kita mahu perubahan isi. Substance

Ya, AMANAH Perak amat bersetuju saranan presiden untuk kita keluar daripada kepompong politik perkauman dan ekstremis agama. Serangan politik yang bertopengkan perkauman dan agama juga bukan sesuatu yang baru. 

Bukan ekstrem ke kanan, kiri

Sebenarnya ada juga kelompok yang kelihatan antiperkauman tetapi sebenarnya mereka bertenggek di atas najis perkauman. Bicaranya bersalut adat budaya, ayat-ayat suci, kononnya prodemokrasi, tetapi hakikatnya penuh dendam dan api kebencian. 

Ini jelas bertentangan daripada ajaran agama, budaya dan falsafah demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan.

Kita harus bersederhana dalam berpolitik. Jangan sampai musnah negara dan ummah. Bersederhanalah dalam merubah. Jangan ektrem ke kanan, juga jangan ekstrem ke kiri. 

Jadilah golongan wasatiah dalam bertindak. Wasatiah bukan slogan. 

AMANAH berjuang berpandukan landasan Rukun Negara dan prinsip kebenaran keadilan dan nilai-nilai kemanusiaan yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia. Perlembagaan Malaysia kita dinamik dan unik. Perlembagaan kita mengabungkan elemen tradisi dan moden sebagai kerangka negara yang merdeka.  

Manakala Rukun Negara adalah ikrar pegangan negara yang dijadikan garis panduan dalam usaha membina negara dan bangsa Malaysia. Ia telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong keempat. Ikrar Rukun Negara adalah seperti berikut:

"Bahawasanya, Negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak: Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara satu cara hidup demokratik; mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dinikmati bersama secara adil dan saksama; menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak; membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.”

Ada istilah yang ingin AMANAH Perak tonjolkan seperti perpaduan, demokratik, masyarakat yang adil, saksama, kemakmuran, liberal, tradisi dan masyarakat yang progresif. 

Adalah suatu yang panjang dan mendalam untuk menghuraikan satu persatu istilah yang ada di dalam Rukun Negara.

Bertindak lebih sederhana

Cuma pada kesempatan ini, AMANAH Perak mengambil kesempatan untuk melontarkan dua persoalan untuk dinilai secara kendiri. Sejauh mana perjuangan kita untuk membawa perubahan selama ini diimbangi antara nilai dan pendekatan yang progresif dengan konservatif, liberal dengan tradisi, demokratik dengan kratos (kuasa) lain? 

Sejauh manakah perjuangan untuk membawa perubahan selama ini benar-benar membentuk perpaduan, kemakmuran, menawarkan keadilan dan menghargai kebudayaan yang kaya dan berbagai corak?

(Apabila saya menyebut persoalan perjuangan kita selama ini, ini bukan bererti dua tahun sejak penubuhan parti AMANAH. Apa yang saya ingin maksudkan "perjuangan kita selama ini" adalah sejak kita berada dalam landasan perjuangan politik. Termasuk dengan period sebelum adanya AMANAH.)

AMANAH Perak beranggapan kita terlalu obses pada istilah dan pendekatan popular sehingga melupakan persoalan yang fundamental dalam kerangka masyarakat yang kita dibina. Di sinilah perlu kita bersikap dan bertindak secara lebih sederhana. 

Jangan keghairahan pada perubahan sehingga mencabut akar sistem politik negara. Asas pemerintahan negara kita adalah demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan. 

Kuasa rakyat perlu diimbangi dengan kuasa-kuasa (kratos) lain yang juga memainkan peranan penting dalam mewujudkan kesejateraan negara. Jangan keghairahan pada cara yang liberal hingga hilang punca seperti lelayang putus talinya. Terawang-awang dan akhirnya menyembah ke bumi. 

Mesti ada had dan batasnya. Ini adalah persoalan kesederhanaan dalam perubahan bernegara dan bermasyarakat.

Manifestasi perubahan yang ekstremis di Malaysia wujud dalam dua wajah. Pertama adalah ekstremis berwajah perkauman, dan kedua adalah ekstremis bertopengkan agama. 

Hari ini AMANAH Perak bimbang berlakunya symbolic violence dalam masyarakat sehingga kita kehilangan arah yang sebenarnya. Symbolic violence adalah merujuk keganasan yang senyap dan meluas (mass) terhadap simbol-simbol pada sesuatu kewujudan entiti. 

Gabungan Inggeris dan Latin

Dalam keghairahan kita ke Putrajaya, jangan lupa persoalan simbolik yang fundamental dalam masyarakat. Nanti, kita hanya jadi bidak-bidak di papan catur. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. 

Teras Perlembagaan Malaysia perlu dipertahankan dengan jelas. Ini adalah simbol kewujudan negara. Ini soal inti. Maujud.  Ya, ini adalah persoalan Melayu, Islam, bahasa dan budaya yang menjadi citra atau simbol bangsa sebuah negara merdeka ini. 

Perlembagaan kita dirangka berdasarkan sosiobudaya yang panjang riwayatnya. Nama negara kita Malaysia adalah suatu manifestasi sejarah yang wajib difahami seluruh warganegara. 

Nama Malaysia bukan wujud pada 1963. Para sarjana dan penulis Barat sejak kurun ke-19 sudah menggunakan istilah Malaysia. Nama Malaysia adalah gabungan dua kata dari bahasa Inggeris dan Latin yang bermakna ‘Tanah bangsa Melayu’. Bacalah catatan Jules Dumont d'Urville (1831), Thomas G Bradford (1835), Alexander Keith Johnston (1845), George Earl (1850) dan lain-lain lagi. 

Bahkan pernah dijadikan sebuah novel Itali yang bertajuk I Pirati Della Malesia (Lanun Malaysia) oleh novelis  Emilio Salgari (1896). Jangan sebut ini rasis. Ini fakta sebuah nationhood.

Jangan takut untuk bercakap soal Melayu, raja, bahasa dan budaya. Ini adalah simbol-simbol terbinanya negara yang adil, saksama dan sejahtera. 

Yang kita tentang, kita lawan adalah Melayu korup, ‘assabiyyah’ atau perkauman tetapi jangan sampai kita berlawanan itu, ‘kaum’ itu mati. 

Melayu jangan dibiarkan mati, apatah lagi Melayu itu terpinggir atau sengsara di buminya sendiri. Kaum-kaum lain wajib membantu. Ini kontrak sosial.

Begitu juga dalam Pakatan Harapan. Persefahaman politik kita mesti berdasarkan kontrak sosial. Jangan fikir kerusi dan kuasa parti nafsi-nafsi. Mentang-mentang sudah gagah, berangan tinggi melangit, lupa bumi yang dipijak. Kami mengingatkan rakan-rakan dalam HARAPAN.

Usman Awang pernah mentakrifkan Melayu dalam puisinya yang sungguh nasionalistik:

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:

Jawa itu Melayu

Bugis itu Melayu

Banjar juga disebut Melayu

Minangkabau memang Melayu

Keturunan Acheh adalah Melayu

Jakun dan Sakai asli Melayu

Arab dan Pakistani, semua Melayu

Mamak dan Malbari serap ke Melayu

Malah mualaf bertakrif Melayu

Takrif Melayu ini bertepatan dengan Fasal 160 Perlembagaan Malaysia. Satu pemaknaan sebuah bangsa yang sangat toleran.  

Ini nationhood (kebangsaan) yang hendak kita bina. Kaum dan agama lain  diberi satu jaminan yang adil dan saksama dalam Perlembagaan Malaysia. Yang kita tentang adalah penyalahgunaan agama dan Melayu demi kepentingan politik kelompok tertentu.

Jangan terasa tidak progresif, tidak inklusif apabila bercakap tentang soal Melayu, Islam dan bahasa. Ini adalah persoalan nasional. Soal negara. Jangan terlalu apologetik.  Ingat berapa harga perjuangan datuk nenek moyang kita dahulu: 

Membujur lalu melintang patah

Patah sayap bertongkat paruh

ranap paruh berganti siku

rebah siku masih ada dagu

retak dagu berkayu kuku

Apapun kita harus bijak mengatur langkah. Berstrategi. Bersabar dengan kerenah orang bersiasah.  Berhikmah dalam membuat perubahan. Berfikir jauh seperti yang selalu dimadahkan oleh Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub: Kalau dilipat sekecil kuku, bila dibentang seluas alam.

 

*Symbolic Violence adalah terma sosiologi yang diperkenalkan sarjana Perancis, Pierre Felix Bourieu.


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah di Universiti Teknologi Petronas penulis buku serta esei.

 

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya membayangkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS