Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Sistem Insurans Pekerjaan tidak wajar ditarik balik’

ULASAN l Dewan Rakyat yang mula bersidang hari ini menandakan mesyuarat terakhir Dewan Rakyat dalam konteks mesyuarat kali ketiga penggal kelima Parlimen ke-13.

Pada hari ini, semasa persidangan Dewan Rakyat, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot anak Jaem mengemukakan usul untuk menarik balik Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (DR 27/2017), yang dibentang pada 1 Ogos lalu bagi bacaan pertama.

Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berasa terkejut dan kesal terhadap langkah ini.

Kami menganggap bahawa Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) ini adalah untuk membantu para penganggur yang berdepan dengan pemberhentian kerja supaya terus berhidup dengan elaun mencari pekerjaan, pada masa yang sama membantu mereka pulang ke dunia pekerjaan.

Oleh itu kami berasa ketiadaan bantuan pengangguran yang bermakna seperti SIP ini adalah suatu kekurangan bagi para penganggur yang ingin mencari pekerjaan dan berhidup seperti orang lain.

Kami ingin bertanya sama ada SIP ini suatu gimik politik oleh kerajaan persekutuan menjelang PRU? Adakah kerajaan persekutuan terlalu bertunduk kepada majikan-majikan yang membantah SIP ini, walaupun kadar caruman telah direndahkan?

Dalam suasana ekonomi yang makin mencabar ini, kami bukan sahaja mendapat berita bahawa berlakunya pemberhentian kerja di sektor perbankan dan sektor minyak dan gas, malah juga terdapat penutupan tempat kerja dan penutupan syarikat pelbagi industri yang menyebabkan para pekerja berkenaan kehilangan kerja.

Antara yang mengejutkan adalah 3,600 orang kakitangan MAS daripada jumlah kira-kira 6,000 pekerja MAS yang diberhentikan tanpa tindakan sewajarnya diambil oleh kerajaan persekutuan dan pihak berkaitan.

Cadangan oleh kerajaan untuk melaksanakan SIP telahpun diumumkan dalam ucapan Bajet 2015 oleh Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bin Razak pada 10 Oktober 2014, dan akhirnya Rang Undang-Undang bagi SIP dibentang pada sidang Dewan Rakyat bagi Julai 2017, dengan mewajibkan kedua-dua majikan dan pekerja masing-masing mencarum sebanyak 0.5 peratus daripada gaji bulanan pekerja berkenaan, dan mereka yang diberhentikan kerja (kecuali dipecat atas salah laku) atau terpaksa meletak jawatan atas faktor keselamatan diri akan dapat memperolehi elaun mencari pekerjaan selama 3 hingga 6 bulan (terpulang kepada tempoh pencaruman sebelum itu) dengan bilangan yang berkurangan daripada 80 peratus kepada 30 peratus daripada gaji bulanan sebelum pengangguran.

Selepas itu, Menteri Sumber Manusia mengumumkan pada 11 Oktober lalu bahawa Jemaah Menteri bersetuju agar suatu Rang Undang-Undang bagi SIP akan dibentang pada 24 Oktober dengan mengurangkan kadar caruman daripada 0.5 peratus kepada 0.2 perratus yang dikatakan “kadar caruman yang terendah di dunia”.

Berdasarkan anggaran kami, sekiranya suatu SIP dilaksanakan dengan kadar caruman hanya 0.2 peratus masing-masing daripada kedua-dua majikan dan pekerja (jumlah 0.4 peratus), maka berdasarkan purata gaji bulanan sebanyak RM2,463 pada tahun 2016 dengan tenaga kerja dalam sektor swasta seramai 6.8 juta orang, maka tabung SIP akan dapat mengutip kira-kira RM804 juta, sedangkan jika dengan kadar caruman 0.5 peratus (jumlah 1 peratus) sebelum itu tabung ini dapat mengutip hampir RM2 bilion.

Berdasarkan bilangan penganggur dalam sektor swasta seramai 57,282 yang dikatakan oleh Menteri Sumber Manusia pada 11 Oktober 2017, maka jumlah elaun mencari pekerjaan yang boleh dibayar oleh SIP ialah kira-kira RM380 juta. Ini adalah kira-kira 47.4 peratus daripada jumlah kutipan berdasarkan kadar caruman 0.2 peratus sedangkan jika berdasarkan kadar caruman 0.5 peratus maka pembayaran elaun ini adalah kira-kira 19 peratus daripada jumlah kutipan.

Kami berpendapat bahawa langkah kerajaan untuk menarik balik Rang Undang-Undang SIP yang sedia ada, adalah suatu langkah ke belakang. Sesungguhnya peruntukan Rang Undang-Undang ini adalah tidak bersesuaian dengan nama skim ini sebagai suatu “insurans pekerjaan”.

Malah kami juga khuatir bahawa sekiranya kerajaan tidak membentang sebarang Rang Undang-Undang baru seperti yang dijanjikan, maka para penganggur akan terus terjerumus dalam masalah kewangan yang dialami mereka ini, terutamanya mereka yang kesukaran mencari pekerjaan baru atas faktor usia.

Kami berpendapat bahawa sekiranya kerajaan bertegas dengan rancangan untuk mengurangkan kadar caruman ini dengan skop perlindungan yang terhad, maka adalah lebih wajar untuk skim ini dikenali sebagai suatu “tabung pemberhentian kerja”.

Kami menyeru Kementerian Sumber Manusia agar menimbang semula tindakan menarik balik Rang Undang-Undang ini.


OOI HENG adalah Pengarah Eksekutif, Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS