Paling Popular
Terkini

ULASAN | Antara faktor penting untuk sesebuah negara berjaya ialah tahap kewibawaan penjawat awam dan institusi pentadbiran mengurus dan melaksanakan amanah.

Sekiranya institusi itu seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada dalam keadaan bebas, adil, amanah dan telus, maka negara yang parah mempunyai harapan untuk sembuh. Sekiranya tidak, negara lumpuh dan mungkin menuju kemusnahan.

Realitinya, tidak ada institusi yang sempurna. Jika pun mereka beraspirasi baik, tetapi dengan cabaran, ancaman atau tekanan maka aspirasi baik mungkin bertukar. Lebih malang lagi jika mereka sendiri pula membiarkan institusi terseleweng dan disalahgunakan.

Kita ambil contoh SPRM. Ia ditubuhkan dengan niat mulia untuk membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. SPRM kadangkala dilihat tegas dan kadangkala tiada taring. Umpama yo-yo.

Ketegasan menyiasat dan mendakwa tanpa takut dan memilih bulu sejajar dengan prinsip SPRM yang terpapar dalam laman sesawangnya iaitu bebas, telus dan profesional.

Soalnya, bolehkah SPRM benar-benar melaksanakan prinsip tersebut pada setiap masa dan pada semua kes?

Baru-baru ini SPRM kelihatan bertindak agresif dalam memerangi rasuah dengan membuat beberapa tangkapan untuk kes yang melibatkan dana persekutuan berjumlah lebih RM1.5 bilion di Sabah.

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang telah dipecat Umno dan kini Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), ditahan reman untuk membantu siasatan. Naib Presiden mereka, Datuk Peter Anthony juga ditahan.

Dakwa Mohd Shafie, sepanjang memimpin KKLW, tiada masalah timbul, namun segala-galanya berubah selepas beliau tidak lagi bersama kerajaan.

“Kali ini Najib mengarahkan SPRM menangkap pemimpin-pemimpin parti lawan (WARISAN) di Sabah. Matlamatnya ialah untuk melumpuh WARISAN dengan menangkap Shafie dan menakutkan penyokongnya”, dakwa Tun Dr Mahathir dalam blognya chedet.cc.

Walaupun dakwaan oleh Shafie dan Dr Mahathir tersebut bersifat politik dan menyerang Datuk Seri Najib serta Umno BN, namun ia memberi isyarat yang SPRM tidak bebas dan mungkin berada di bawah kuasa rejim pemerintah.

Insiden ini mengingatkan saya kepada siasatan SPRM ke atas 1MDB dua tahun lalu. Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dicutikan, beberapa pegawai yang terlibat dalam siasatan dipindahkan. Malah majlis solat hajat perdana SPRM dibuat supaya institusi itu diberi kekuatan untuk terus kukuh menyelamatkan negara daripada gejala rasuah.

Amat sukar untuk menafikan bahawa ada campur tangan politik dalam hal ini apabila tekanan dikenakan ke atas SPRM.

Pada masa sama, kita juga dikejutkan dengan berita Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad didakwa terbabit dengan skandal bersama seorang wanita di Bali, Indonesia, yang tular di media sosial dan sedang dalam siasatan polis di bawah Seksyen 489 Kanun Keseksaan.

Menurut Dzulkifli, ia satu tuduhan yang jijik dan kotor bertujuan untuk mencemar reputasi dan nama baik beliau di samping menjejas kewibawaan SPRM.

Beliau menegaskan tidak akan tunduk dengan serangan sebegitu dan akan terus melaksanakan tugas serta tanggungjawab tanpa gerun dan gentar.

Ini kenyataan berani tetapi ada yang berpendapat ia bukan kenyataan penafian oleh ketua SPRM itu.

Jika diperhatikan keadaan ini, ternyata SPRM tertekan bukan saja dengan persoalan tentang kebebasan dan profesionalismenya tetapi juga dengan serangan peribadi ke atas ketuanya.

Sebagai sebuah negara yang berdiri di atas keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan prinsip pemisahan kuasa, institusi seperti SPRM, PDRM dan Pejabat Peguam Negara bukan sahaja wajib bebas, adil dan profesional tetapi dilihat secara persepsinya juga begitu.

Justeru, sesuatu pembaharuan atau reformasi perlu dilakukan khususnya kepada SPRM.

Pertama, salah satu daripada lima tindakan dalam 100 hari pertama kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) ialah menjadikan SPRM badan bebas yang melapor terus kepada parlimen.

Buat waktu ini, di bawah Akta SPRM 2009 subseksyen 5 (1), ketua pesuruhjaya dilantik oleh Yang di Pertuan Agung atas nasihat perdana menteri dan agensi terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Kedua, memberi kuasa pendakwaan kepada SPRM terhadap kes-kes rasuah dan tidak hanya bergantung kepada keputusan peguam negara.

Ketiga, memastikan peruntukan tahunan SPRM mencukupi dan SPRM diberi autonomi menguruskan kewangan mereka. Menurut ketua pesuruhjaya SPRM, badan itu kini kekurangan 2,000 anggota dan peruntukan kewangan dipotong.

Keempat, menjamin hak pelantikan tetap bagi ketua pesuruhjaya SPRM untuk memastikan beliau akan melaksanakan tugas dengan tegas dan tanpa rasa takut; dan

Kelima, menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Pencegahan Rasuah untuk membolehkan SPRM membuat pilihan sendiri pegawai-pegawai dalam perkhidmatan SPRM.

Selain itu, saya percaya mekanisme semak dan imbang sedia ada seperti Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dan Jawatankuasa Aduan (JA), boleh diperketatkan dari segi fungsi dan peranannya untuk memastikan ketelusan dan pertanggungjawaban dalam keseluruhan perjalanan SPRM.

Pada pendapat saya, apa jua kejayaan pembaharuan atau reformasi kepada mana-mana badan atau institusi bergantung kepada keazaman politik, kekuatan pegangan prinsip dan kehendak rakyat.

Reformasi yang diunjurkan tidak boleh berlaku jika parti Umno dan BN tiada keazaman politik untuk melaksanakannya, lebih-lebih lagi jika mereka percaya kuasa dan kedudukan mereka boleh terjejas.

Reformasi juga tidak boleh berlaku jika pemegang jawatan institusi penting negara dan penjawat awam sendiri lemah dan longgar pegangan kepada prinsip.

Saya percaya pegawai tinggi jika diberikan rangsangan dan suasana positif tidak akan menggadaikan prinsip mereka hanya kerana takut kepada pemimpin Umno BN. Sikap amanah, adil dan bertanggungjawab menuntut keberanian untuk ditegakkan.

Reformasi juga tidak boleh berlaku jika rakyat sendiri tidak bangkit menuntutnya kerana pada akhirnya, suara rakyat suara keramat. Peluang dan harapan perubahan sentiasa ada.

Cuma tunggu masa sahaja untuk menjananya kepada sesuatu yang benar-benar membawa kebaikan buat rakyat.


SYED IBRAHIM SYED NOH ialah ketua penerangan PKR.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS