Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Utusan menang kes pecat ketua kesatuan wartawan
Diterbitkan:  Oct 24, 2017 4:05 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Setelah proses mahkamah yang panjang kira-kira lapan tahun, keputusan mahkamah tidak memihak kepada bekas pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) cawangan Utusan Melayu Amran Ahmad.

Amran hari ini dilaporkan gagal dalam tuntutannya di Mahkamah Perusahaan di Kuala Lumpur yang mendakwa dia dibuang kerja secara salah oleh syarikat itu pada 2009 selepas mengadukan transaksi syarikat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi mahkamah itu Siti Salwa Musa memutuskan memutuskan Amran bersalah memfitnah pihak pengurusan dan syarikat UMMB terhadap tiga pertuduhan melibatkan penerbitan tiga artikel di Malaysiakini dan Harakahdaily.

Atikel-artikel itu merujuk kepada isu tiang gol yang didakwa terlalu mahal serta pengubahsuaian pejabat cawangan Utusan Melayu Pulau Pinang.

“Setelah mempertimbangkan dan menilaikan keseluruhan kete­rangan, mahkamah mendapati bahawa pihak syarikat telah berjaya membuktikan atas imbangan kebarangkalian salah laku pihak yang menuntut (Amran) seperti dalam ketiga-tiga pertuduhan,” kata Siti Halwa seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Menurut penghakiman bertarikh 20 Oktober lalu, Siti Salwa dilapor bersetuju dengan hujah peguam S Rutheran dan Yeoh Wan Xin yang mewakili Utusan Melayu bahawa Amran melakukan salah laku serius kerana membuat kenyataan tidak benar dan mencemarkan imej syarikat.

Amran yang mula bekerja dengan Utusan pada 1 Julai 2001, menga­du kes pembuangan kerjanya pada 3 September 2009 ke Jabatan Perhubungan Manusia. Pada 20 September tahun sama, Menteri Sumber Manusia merujuk kes itu ke Mahkamah Perusahaan.

Dalam penghakimannya, Siti Salwa berkata, mahkamah mendapati kos pembinaan tiang gol dan jaring penghadang tiang gol di padang bola yang sebenar adalah berjumlah RM48,058.29, bukan RM160,000 atau RM180,000 seperti yang didakwa oleh Amran.

Jelas beliau, Amran terkeliru dengan terminologi “cantilever steel support” dan “goal post fencing” yang digunakan dan membuat kesimpulan salah.

Oleh itu, katanya, kenyataannya berhubung kos pembinaan tiang gol dan ja­ring penghadang tiang gol bukan sahaja salah daripada segi fakta tetapi juga mengelirukan.

Selain itu, kata Siti Salwa, mahkamah menerima keterangan saksi-saksi syarikat dan mendapati per­belanjaan syarikat bagi kerja-kerja pengubahsuaian pejabat dilakukan dengan telus apabila tawaran dibuat secara terbuka.

“Dokumen-dokumen dikemukakan pihak syarikat me­nunjukkan bahawa kerja-kerja yang dilakukan adalah mengikut spe­sifikasi yang ditetapkan iaitu kos bukan sahaja meliputi kerja-kerja pengubahsuaian di pejabat baharu cawangan malahan me­rangkumi kerja-kerja perpindahan dari pejabat lama melibatkan perabot, fail, rekod, komputer dan kos penanggalan mesin pen­dingin hawa dan kos pemasangannya semula di pejabat baharu,” beliau dilapor sebagai berkata.

Amran: Pecat saya tak adil

Sementara itu, Amran dalam kenyataannya hari ini berkata beliau akur dengan keputusan itu tetapi tetap menegaskan pemecatannya adalah tidak adil.

“Saya hormati, akur dengan keputusan Mahkamah Perusahaan yang telah memberi keputusan penghakiman yang tidak memihak kepada saya.

“Namun, saya tetap percaya dan berdiri teguh atas pendirian saya bahawa pembuangan kerja pada tahun 2009 adalah tidak adil,” katanya.

Beliau juga berkata saya akan berunding dengan pihak NUJ dan peguam NUJ untuk memutuskan langkah seterusnya.

“Pada masa yang sama, keputusan Mahkamah Perusahaan ini tidak akan melemahkan semangat saya untuk terus berjuang ke arah kebebasan media yang lebih adil di negara ini,” katanya.

Lihat Komen
ADS