Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Peniaga gesa SPRM siasat kos bina pasar di Kelantan

Sekumpulan kira-kira 50 peniaga kecil hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kos pembinaan pasar baru iaitu Pasar Siti Hajar di Pasir Puteh, Kelantan.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Besar Pasir Puteh, Kamaruzaman Che Ngah berkata, beliau yang mewakili seramai 500 peniaga percaya terdapat unsur penyelewengan membabitkan kos bangunan yang didakwa menelan belanja RM6.1 juta itu.

Sehubungan itu, persatuan itu hari tampil membuat laporan kepada SPRM supaya menyiasat pihak pemaju dan kerajaan negeri.

"Hari ini saya bersama kira-kira 50 peniaga mewakili keseluruhan peniaga lain tampil untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pemaju dan kerajaan negeri berhubung perkara ini.

"Kami lihat, dengan kos yang besar itu tidak setimpal dengan bangunan yang dibina," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM, di Kota Bharu.

Kamaruzaman berkata, pembinaan Pasar Siti Hajar dirancang sebagai premis baru untuk peniaga menggantikan pasar lama yang bakal dimajukan dengan projek pembangunan lain.

Bagaimanapun, pihaknya tidak berpuas hati dengan struktur binaan pasar baru itu yang dilihat mengabaikan aspek keselamatan, sempit dan hanya mempunyai satu laluan masuk.

"Keadaan itu jauh berbeza dengan pasar lama yang mempunyai 13 laluan masuk dan terletak di tengah-tengah pekan Pasir Puteh," katanya yang turut membawa kes tersebut ke mahkamah.

Seorang peniaga, Minah Mamat, 67, berkata, dia dan rakan-rakan enggan berpindah ke pasar baru susulan struktur bangunan tidak memuaskan di samping mendesak kerajaan negeri prihatin dengan masalah dihadapi mereka.

Katanya, peniaga diarahkan supaya berpindah ke pasar baru bermula 15 hingga 22 oktober lalu, namun mereka berkeras untuk terus berniaga di pasar lama.

"Bekalan air dan elektrik di pasar lama juga sudah dipotong tetapi kami tetap berniaga seperti biasa walaupun terpaksa bergelap dan berpanas.

"Kami merayu supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) tampil mendengar keluhan kami," katanya yang berniaga sejak 39 tahun lalu di pasar lama.

Lihat Komen
ADS