Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Saranan wujudkan skim pencen sosial universal
Diterbitkan:  Oct 25, 2017 10:10 AM
Dikemaskini: 2:46 AM

Kalangan penggubal dasar perlu menimbang untuk mewujudkan satu skim pencen sosial yang universal berikutan kebimbangan bahawa rakyat Malaysia tidak memiliki simpanan secukupnya untuk menampung tempoh persaraan mereka.

Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Sosial (SSRC) Universiti Malaya, Profesor Datuk Norma Mansor berkata ini terutamanya ketara bagi golongan pekerja berpendapatan rendah yang kekurangan wang bagi persaraan biarpun membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sepanjang usia bekerja.

Malah, masalah sedemikian juga tidak terkecuali bagi pekerja tidak rasmi atau yang bekerja sendiri.

"Hasil kaji selidik 'Kecukupan Simpanan Dalam Kalangan Ahli KWSP' oleh SSRC menunjukkan 40 peratus daripada mereka (responden) lebih memilih untuk melakukan pengeluaran sekali gus dan hanya peratusan kecil menimbang pengeluaran secara bulanan atau anuiti," katanya.

Kaji selidik itu membabitkan sebanyak 2,635 pencarum daripada 19 cawangan KWSP di seluruh negara.

Hasil dapatan kaji selidik itu juga menunjukkan sebahagian besar pengeluaran KWSP (sebelum 55 tahun) digunakan bagi tujuan pembelian rumah, pengubahsuaian kediaman, pendidikan anak-anak serta perbelanjaan lain.

Susulan pengeluaran itu, kata Norma, majoriti responden yang berusia 55 tahun dan ke atas, memiliki baki simpanan KWSP kurang RM50,000, sebilangan kecil memiliki lebih RM400,000 dan segelintir lain tiada lagi baki simpanan.

“Ini membimbangkan kerana Malaysia tidak mempunyai satu (skim) pencen yang universal dan dapat menyediakan golongan warga tua dengan dana mencukupi bagi persaraan mereka," katanya.

Norma berkata, selain itu, kaji selidik itu juga mendedahkan bahawa 79 peratus responden dengan baki simpanan KWSP yang sedikit atau bertindak mengeluarkan wang itu, memilih untuk menyimpan wang berkenaan di dalam skim simpanan alternatif atau pun melabur bagi mendapatkan pulangan lebih baik.

Majoriti responden itu memiliki hartanah/ kediaman sendiri manakala lebih separuh mempunyai pelaburan dalam skim simpanan yang dijamin, unit amanah atau Tabung Haji.

"Oleh itu, tidak hairanlah responden terbabit dengan simpanan KWSP kurang RM50,000 menyatakan bahawa mereka memiliki jumlah aset bernilai antara RM100,000 dan RM500,000 manakala sebilangan kecil memiliki aset bernilai lebih RM1 juta,” katanya.

Beliau berkata analisis selanjutnya menunjukkan hampir separuh daripada responden berusia 60 tahun dan ke atas, memilih untuk bekerja walaupun mempunyai simpanan atau pelaburan.

Ini menunjukkan kesediaan mereka untuk terus bekerja setakat termampu selagi diberi menikmati kesihatan yang baik.

“Kebanyakan mereka terpaksa mencari kerja di tempat lain kerana berasakan simpanan yang ada tidak mencukupi untuk menampung kehidupan mereka selagi hayat ada.

“Malah, akibat ketidaktentuan ekonomi semasa dan peningkatan kos sara hidup serta penjagaan kesihatan, ini bermakna ramai yang akan kehabisan apa juga sumber kewangan yang ada dalam tempoh singkat," katanya.

Menurut Norma, walaupun KWSP yang ditubuhkan sebagai simpanan 'paksa' pekerja, terus menguruskan dana itu secara paling berhemat, namun caruman atau sumbangan semasa sebenarnya mampu dipertingkatkan lagi dengan memperkenalkan produk-produk yang dapat dikembangkan sebagai skim pencen penuh atau separa pencen, secara wajib atau pun sebaliknya.

“Namun, persoalannya adalah sama ada pencarum itu sendiri sanggup menukar simpanan KWSP mereka kepada bentuk pendapatan masa depan yang menyamai pencen?

“Mengikut kaji selidik kami, ini memerlukan pulangan lebih menarik daripada simpanan KWSP untuk memastikan mereka akan terus kekal dengan pilihan itu," katanya.

Beliau berkata tumpuan khusus perlu diberi terhadap mereka yang mempunyai simpanan KWSP kurang RM50,000 dengan jumlah asetnya kurang daripada RM100,000.

Mengikut kaji selidik itu, 14 peratus responden mewakili kumpulan berkenaan yang lemah dari segi kewangan dan berdepan masalah sekiranya mereka ditimpa masalah atau kecemasan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS