Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN l Najibnomics - Pengurusan ekonomi Najib - hidangan panas media massa arus perdana sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Ia diuar-uarkan sebagai sangat berjaya.

Tidak dinafikan. Sekurang-kurangnya untuk pencetusnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Betapa tidaknya. Sebanyak AS$681 juta (bersamaan RM2.884 bilion pada kadar tukaran 25 Oktober 2017) masuk akaun peribadinya.

Anak tiri beliau (anak Datin Seri Rosmah Mansor dengan suami pertamanya), Riza Shahriz Abdul Aziz, hidup kaya raya di Amerika Syarikat.

Dia mendakwa duit AS$94 juta (bersamaan RM398.1276 juta) yang masuk akaunnya adalah “hadiah” daripada Aabar BVI yang kononnya berkongsi niaga dengan 1MDB.

Sahabat baik Najib, Jho Low tak kira lagilah besar kekayaannya. Kapal layarnya saja berharga AS$250 juta (RM1.058 bilion). Dia inilah arkitek putar memutar duit 1MDB.

Najibnomics yang hendak transformasikan Malaysia jadi negara pendapatan tinggi memang menguntungkan Najib, ahli keluarga dan kawan rakannya.

Tetapi untuk rakyat jelata lain cerita.

Nilai ringgit merudum. Inflasi semakin tinggi. Dibebankan pula dengan GST. Pengangguran makin menjadi-jadi. Peruntukan kesihatan dan pendidikan tidak mencukupi. Peralatan bedah di hospital pun sudah terpaksa ditebus guna.

Pengarah Kesihatan kata, ada peranti perubatan kegunaan tunggal yang digunakan lebih daripada sekali. Menteri pula kata bukan kurang ubat-ubatan tapi isu bekalan.

Maaf cakaplah. Putar belit seakan-akan orang mabuk bahan khayal. Jangan-jangan tak bayar pembekal tak?

Balik Ke Zaman Dulu

Malah Najibnomics telah bawa sesetengah rakyat jelata balik ke zaman sebelum merdeka.

Zaman itu datuk saya (tok wan) pandu prewet (kereta persendirian) mengangkut penumpang. Waktu itu teksi tak masuk kampung dan perkhidmatan bas MARA belum ada.

Dia buta huruf tetapi kerana pandai memandu kenderaan bermotor dia dihormati dan boleh cari pendapatan tambahan.

Sekarang beratus ribu lulusan universiti yang dibiayai ibu bapa, JPA dan MARA tidak ada kerja.

Macam tok wan saya, mereka guna kereta sendiri angkut penumpang bagi pihak Grab dan Uber.

Dulu kita hairan (dan pandang hina) bila doktor perubatan, jurutera dan akautan bawa teksi di India, Pakistan dan Filipina.

Sekarang, pada zaman Najibnomics, anak cucu kita sendiri yang lulus kedoktoran, kejuruteraan, perakaunan dan macam-macam lagi jadi pemandu Grab, Uber dan teksi. Lebih baik pandu Grab, Uber dan teksi daripada mencuri duit 1MDB.

Najibnomics adalah mengenai transformasi bagi menjadikan Malaysia negara pendapatan tinggi, pasaran terbuka, bekalan dan permintaan menentukan harga, penghapusan subsidi dan pelaksanaan GST yang kononnya bertunjangkan inovasi, kreativiti dan produktiviti tapi tak habis-habis cuti.

Penulis buku “Najibnomics Transforming Malaysia (sic) To A High-Income Nation”, Irwan Shah Zainal Abidin, berkata GST adalah inti pati Najibnomics. (The Goods and Services Tax (GST): The crux of Najibnomics).

Najibnomics digemari penganalisis dalam dan luar negara kerana ia memberi kuasa kepada pasaran dan menghapuskan subsidi yang mereka anggap mencacatkan ekonomi.

Jadi tidak hairanlah kalau di saat-saat rakyat jelata menderita, Najibnomics dipuja dan dipuji oleh golongan kapitalis dan bourgeoisie.


DATUK A KADIR JASIN adalah bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai pimpinan pusat parti itu.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS