Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Operasi Lalang detik terhitam demokrasi Malaysia
Diterbitkan:  Oct 27, 2017 5:02 PM
Dikemaskini: 9:10 AM

Pada hari ini 30 tahun lalu Lim Kit Siang ialah seorang daripada 106 individu yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam gerakan dinamakan sebagai Operasi Lalang.

Dalam kenyataan medianya untuk memperingati penahanan mengikut akta yang kini dilupuskan itu, Lim menganggap ia sebagai detik paling hitam buat demokrasi dan hak asasi manusia di negara ini.

Operasi Lalang itu kata Lim bukan saja memangsakan 106 orang membabitkan pemimpin pembangkang - 16 daripada mereka anggota DAP termasuk anggota parlimen serta anggota dewan undangan negeri - dan pemimpin kesatuan sekerja atau aktivis sosial serta pejuang alam sekitar.

“Berlaku juga serangan borong ke atas kebebasan media dengan penutupan tiga akhbar, serangan terhadap kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang serta siri penggubalan undang-undang tidak demokratik yang menyebabkan perubahan tektonik dalam landskap politik Malaysia, menundukkan cabang perundangan dan kehakiman kepada eksekutif.

“Operasi Lalang pada 1987 membawa kepada pertumbuhan rapuh demokrasi Malaysia ke ambang kehancuran dan bencana," katanya.

Operasi Lalang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri pada 27 Okt 1987 dengan menahan individu yang dianggap mengeruhkan politik semasa.

Umumnya kehangatan suhu politik bermula apabila kerajaan menghantar guru besar dan guru penolong kanan yang tidak memiliki kelayakan bahasa Cina untuk bertugas di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina.

Ajak selamatkan Malaysia

Langkah itu tidak diyakini komuniti Cina dapat menguruskan institusi pendidikan berkenaan dan bantahan berkenaan disampaikan oleh kumpulan pendesak Dong Jiao Zong kepada Timbalan Menteri Pendidikan Woon See Chin pada Sept 1987.

Pada 1 Okt Kementerian Pendidikan mengumumkan guru besar dan penolong kanan terbabit akan diberi tempoh percubaan selama enam bulan namun ia tetap dibantah, termasuk MCA yang menjadi parti komponen BN.

Sebaliknya mereka bertegas mahu ciri khusus sekolah Cina dikekakan.

Pada 8 Okt sebuah jawatankuasa bertindak membabitkan 15 pertubuhan masyarakat Cina - termasuk MCA, Gerakan dan DAP - bertemu dan satu pertemuan dibuat pada 3 hari kemudian.

Mereka bersetuju untuk mengadakan mogok tiga hari jika tuntuan berkaitan tidak diterima.

Pada 19 Okt Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu menjadi menteri pendidikan bertegas kerajaan tidak akan berganjak dan memberi amaran bahawa tindakan keras akan diambil ke atas guru besar yang merestui mogok berkenaan.

Kontroversi itu dikatakan berakhir apabila perdana menteri yang juga menteri dalam negeri - ketika itu ialah Tun Dr Mahathir Mohamad - melancarkan Operasi Lalang.

Tiga akhbar tempatan - The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan - juga digantung penerbitannya.

Bagaimanapun hari ini Lim tidak menamakan Dr Mahathir dalam kenyataannya.

Sebaliknya anggota parlimen Gelang Patah dan veteran DAP itu menyasarkan kritikan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Demokrasi di Malaysia sedang berdepan krisis yang menambah populariti negara hingga digelar sebagai negara kleptokrasi di seluruh dunia.

"Perdana menteri menjanjikan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi terbaik dunia tetapi selepas lapan tahun di jawatan itu, negara ini semakin jauh daripada keadaan demokrasi normal," katanya.

Menurut Lim demokrasi negara hanya akan dipulihkan jika berlaku peralihan kerajaan di peringkat persekutuan.

"Pada ulang tahun ke-30 penahanan beramai-ramai Operasi Lalang saya menyeru rakyat Malaysia bersatu demi menyelamatkan demokrasi, kedaulatan undang-undang, hak asasi manusia dan membasmi rasuah serta kleptokrasi," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS