Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bajet 2018: Apa pula kata pembangkang...
Diterbitkan:  Oct 27, 2017 11:06 PM
Dikemaskini: 3:33 PM

Bajet 2018 | Belanjawan 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak di Parlimen hari ini menyaksikan pertambahan peruntukan kepada RM280.25 bilion berbanding RM260.8 bilion pada belanjawan sebelumnya.

RM234.25 bilion daripada jumlah itu diperuntukkan bagi perbelanjaan pengurusan, sementara RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, selain simpanan luar jangka RM2 bilion.

Berikut kami kumpulkan beberapa reaksi dari pemimpin parti pembangkang:

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail:

“Kita perlu hapuskan rasuah dan pembaziran dalam negara kita, itu yang paling mustahak. Anda boleh berikan pelbagai hadiah, namun masalah utama negara dalam pentadbiran ekonomi perlu diselesaikan.

Ditanya gambaran kesuluruhan tentang Belanjawan 2018, Wan Azizah berkata: “Showmanship (persembahan)”.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng:

“Najib akan musnahkan harapan kami (Pakatan Harapan) jika beliau mengumumkan memansuhkan GST dalam Bajet 2018. Jika beliau hapuskan GST, BN pasti menang pilihan raya umum akan datang dengan majoriti mutlak.

“Saya gembira dengan pemansuhan beberapa tol di beberapa negeri. Tapi saya kecewa beliau tidak mansuhkan tol di Jambatan Pulau Pinang yang merupakan antara tol terawal.

“Bagaimanapun, GST masih lagi isu paling penting yang mempengaruhi ekonomi dan kehidupan rakyat Malaysia. Ketika Singapura memperkenalkan GST, kadarnya pada 3 peratus. Kini sudah 7 peratus.

“Sekiranya BN menang dalam pilihan raya umum akan datang, GST akan terus dilaksanakan, dan kami yakin kadarnya akan lebih 6 peratus, mungkin bukan dalam masa terdekat, tapi 3 atau 4 tahun kemudian ia akan dinaikkan.

“Rakyat tahu tentang hal ini. Undi BN, GST lebih tinggi di masa depan.”

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita tahu ia dalam bentuk 'gula-gula' untuk menarik hati rakyat. Saya kurang yakin ia sustainable, mungkin sebahagian besar diberi dalam bentuk one-off bukan untuk sepanjang masa.

"Kita mahu tengok taraf hidup rakyat ditingkatkan bukan untuk satu tempoh tahun depan tapi untuk tahun-tahun mendatang.

“Saya tidak nampak usaha untuk itu. Ia lebih soal menarik hati pengundi. Saya juga melihat masih ada lagi projek-projek mega. Sebahagian disebut angkanya, sebahagian tidak dimaklumkan berapa jumlah terlibat.

“Saya bimbang bagaimana bajet ini untuk dibiayai. Adakah sumber dan aliran wang kerajaan cukup untuk menampung pembayaran.. ini tidak termasuk yang langsung tidak disebut dalam belanjawan itu, bayaran-bayaran faedah yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan disebabkan hutang-hutang yang lepas.

“Bagi saya ia langkah yang tidak bijak. Isu pokok masih lagi kos sara hidup rakyat, kenaikan harga barang dan isu GST. Rakyat masih menanggung beban tinggi.

“Ia juga tidak berapa realistik. Komitmen yang dibuat besar, sedangkan sumber pendapatan (kerajaan) tidak meningkat"

Anggota Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad:

"(Penghapusan) tol bagus, itu memang kita mahukan. Lebuhraya di Kelantan pula sepatutnya dinaik taraf sejak dari dulu.

"Bajet pembangunan dan pengurusan sepatutnya diseimbangkan, atau 60 peratus - 40 peratus, namun Bajet 2018 lebih kepada soal pengurusan."

Anggota Parlimen Kapar G manivannan

“Ini adalah belanjawan untuk memenangi hati masyarakat India, beliau (Najib) sedar undi kaum India penting memandangkan hampir 60 kerusi Parlimen di mana kaum India akan menjadi penentu.

"Beliau mengungkapkan perkataan nallanamide (masa depan untuk kita) untuk menarik undi kaum India. Pada 2013, beliau guna nambikei, untuk memenangi undi kaum India namun tidak ada apa-apa perubahan ketara.

"Masyarakat India mahu melihat perubahan dasar yang menyebabkan kepayahan yang dilalui mereka hari ini."
 

Lihat Komen
ADS