Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Aspek keselamatan lain di pusat tahfiz juga penting'

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menyarankan supaya peruntukan RM50 juta bagi penyelenggaraan sistem pendawaian pusat maahad tahfiz dalam Bajet 2018 turut digunakan untuk tujuan penambahbaikan aspek keselamatan lain.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim berkata selain sistem pendawaian, aspek keselamatan lain juga membantu dalam menjamin keselamatan dan nyawa pelajar jika berlaku situasi kecemasan.

"Saya berharap peruntukan itu boleh digunakan untuk keperluan mendesak lain seperti tangga tambahan, pintu kecemasan kedua dan pengesan asap kerana semuanya elemen penting dalam situasi kecemasan.

"Elemen ini membantu dan membuka peluang yang lebih besar kepada pelajar melepaskan diri jika berlaku kebakaran dan saya melihat peruntukan itu sebagai anugerah untuk menjamin nyawa anak-anak pusat tersebut," katanya kepada pemberita.

Beliau melawat Pusat Tahfiz AnNoer di Janda Baik di Bentong hari ini yang turut disertai Pengarah JBPM Pahang Datuk Abdul Wahab Mat Yassin.

Pada lawatan itu, Wan Mohd Nor menyampaikan sumbangan peralatan pemadam api, pengesan asap dan keperluan skuad bomba pondok serta mengadakan demonstrasi cara memadam api kepada pelajar pusat tahfiz itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2018 di Parlimen semalam, mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada GiatMara bagi membaik pulih dan penyelenggaraan sistem pendawaian di pusat maahad tahfiz seluruh negara.

Selain itu, Mohd Nor juga memberitahu pihaknya juga akan terus melaksanakan pemeriksaan di semua pusat tahfiz seluruh negara selepas proses menaik taraf sistem pendawaian itu selesai bagi memastikan matlamat peruntukan itu tercapai.

Mengulas mengenai skuad bomba pondok, Wan Mohd Nor berkata setakat ini lebih kurang 300 pusat tahfiz daripada 1238 pusat maahad tahfiz yang berdaftar di negara ini mempunyai skuad itu.

“Kita berharap lebih banyak pusat maahad tahfiz menubuhkan skuad bomba pondok kerana kita akan memberikan penerangan dan cara-cara untuk bertindak dalam situasi kecemasan sementara menungggu bantuan.

"Ini dapat membantu mengurangkan risiko kecederaan dan kematian, malah membantu pelajar untuk bertenang dan tidak panik pada situasi itu," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS