Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi mempersoalkan mengapa isu pengunaan logo PAS dan gambarnya pada sampul program Skim Peduli Sihat baru kini dipersoalkan.

Menurutnya, penggunaan logo PAS dan gambarnya pada sampul berkenaan dibuat atas kapasitinya sebagai ADUN Sabak yang bertanggungjawab kepada rakyat di kawasan itu.

"Apa masalahnya kita sebagai ADUN gunakannya (sampul logo PAS) untuk sampaikan kepada rakyat. Sebelum ini lagi kita pakai.

"Kenapa sekarang baru nak ambil penting perkara sebegini?" katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Malaysiakini semalam melaporkan Ahli Majlis Pimpinan Wanita PKR Pusat, Juwairiya Zulkifli mempersoalkan tindakan Sallehen yang didakwa mengelirukan orang ramai terhadap inisiatif kerajaan Selangor.

Juwairiya melalui laman Facebooknya sebelum ini memuat naik gambar beberapa keping sampul surat yang tertera logo dan tulisan Skim Peduli Sihat.

Namun, pada sampul terbabit turut tertera gambar ADUN Sabak itu bersama logo PAS sedangkan skim terbabit merupakan program kerajaan negeri dan bukannya parti politik yang diwakili Sallehen.

Juwairiya menegaskan tindakan Sallehen itu jelas memperlihatkan sikap tidak profesional beliau dalam melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat.

Sampul tersebut dipercayai mengandungi borang dan kad skim berkenaan.

Sallehen berkata, sampul yang diagih kepada rakyat itu ditulis secara terang menyatakan program Skim Peduli Sihat adalah inisiatif kerajaan negeri.

"Sampul itu sudah siap dihantar kepada kita dan saya sebagai wakil rakyat adalah perantara antara kerajaan negeri dan rakyat.

"Bukan kita tulis program tersebut adalah program PAS. Amalan ini juga dibuat oleh wakil-wakil rakyat yang lain sebelum ini," jelasnya.

Sementara itu, tambah beliau kemungkinan pertikaian itu timbul selepas tiadanya Pakatan Rakyat di Selangor.

"Saya tak pastilah kalau mereka marah kerana tidak adanya istilah Pakatan Rakyat di Selangor.

"Mungkin sebab PAS tidak bersama dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan dia marah. Sedangkan penggunaan lambang itu hanya amalan biasa," katanya.

Lihat Komen
ADS