Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
3 anggota RELA dipukul Datuk Seri dapat sijil kepujian

Tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang mendakwa dipukul individu bergelar Datuk Seri di sebuah tokong di Jalan Ampang Jumaat lepas akan menerima sijil kepujian kerana bersikap profesional ketika menjalankan tugas.

Ketua Pengarah RELA Zulkifli Abidin berkata sikap sabar mereka dan tidak mencetuskan tindak balas walaupun diugut dan dikasari wajar dipuji serta dijadikan teladan oleh anggota lain RELA.

"Bagi menghargai komitmen kepada tugas, mereka akan menerima sijil kepujian hari ini yang disampaikan oleh saya sendiri," katanya dalam kenyataan.

Zulkifli berkata sikap mereka membuktikan anggota RELA bertugas dengan mempraktikkan nilai-nilai murni dan mengelak konfrontasi dengan orang awam.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, Melvin Cheong Mun Khai, 19, Lee Weng Poh, 27, dan Leong Jiun Jie, 21, cedera di kepala, mata dan perut selepas mendakwa dipukul dan ditendang lelaki itu.

Kejadian dikatakan bermula apabila mereka meminta lelaki terbabit mengalihkan kenderaan Toyota Vellfire milik suspek yang mengganggu lalu-lintas, namun dia enggan berbuat demikian.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata suspek berusia 29 tahun itu telah dikenal pasti dan diminta tampil menyerah diri bagi membantu siasatan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS