Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kempen Pemantau dilancar awasi PRU14
Diterbitkan:  Oct 30, 2017 2:12 PM
Dikemaskini: 6:16 AM

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini melancarkan kempen Pemantau bagi mengawasi perjalanan pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Selain BERSIH, ia turut disertai Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Pusat Komas serta beberapa NGO lain. Ia diumumkan melalui sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah berkata kempen Pemantau itu ialah sebuah inisiatif rakyat yang mahu mengekang penipuan serta kesalahan dalam PRU14.

Pemantau, katanya, akan mengawasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), parti-parti politik serta calon yang diturunkan pada pilihan raya umum akan datang.

"Sebarang penipuan atau kesalahan akan dilaporkan, manakala tindakan undang-undang akan diambil jika perlu," katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Melalui Pemantau, penyelaras dan sukarelawan akan memberi tumpuan kepada amalan membeli undi, penggunaan harta kerajaan semasa berkempen, perbelanjaan melampau, gangguan dan keganasan, layanan tidak adil oleh SPR serta masalah yang berbangkit pada hari pengundian.

Untuk membolehkan orang ramai membuat aduan Pemantau membuka talian khas iaitu 03-7931 4444 atau melalui mesej WhatsApp di nombor 011-1772 1546.

Satu lagi cara aduan boleh dikemukakan ialah dengan menghantar e-mel [email protected] dan melayari laman sesawang aduan.pemantau.org.

Dengan sasaran mengumpulkan 3,000 sukarelawan serta 100 penyelaras Maria berkata sesiapa yang berminat boleh mendaftar di www.pemantau.org/daftar.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata pihaknya akan memberi tumpuan kepada kes-kes membabitkan isu hak asas manusia dan keganasan politik.

Katanya mereka turut memantau aktiviti berkempen serta ceramah kerana pernah berlaku pihak polis melarang calon melakukannya.

"Semua calon berhak berkempen. Polis sepatutya membantu proses kempen," katanya.

Pagi Pusat Komas mereka akan mengkhususkan pemantauan kepada isu sekitar perkauman.

Pengarah programnya Adli Zakuan Zairakithnaini berkata mereka melancarkan aplikasi telefon pintar dikenali sebagai "Report Racism MY" untuk membolehkan kes seumpama itu dilaporkan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS