Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tak bahas di Parlimen, Najib tak ikhlas juang Rohingya'

PARLIMEN | Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan sentiasa dianggap tidak ikhlas memperjuangkan isu penindasan terhadap etnik Rohingya, selagi ia tidak dibahaskan secara rasmi di Dewan Rakyat.

Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata dakwaan Najib yang beliau membangkitkan isu itu ketika pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump hanyalah sandiwara.

"Sama juga dengan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memanggil sidang khas di New York untuk membahaskan isu itu.

"Pada masa sama kerajaan sendiri menolak perbahasan di parlimen sendiri. Ini adalah hipokrasi besar yang memalukan kerajaan kerana menolak usul rasmi untuk dibahas di Dewan Rakyat," kata anggota parlimen Kuala Terengganu itu pada sidang media di Parlimen hari ini.

Pagi tadi, Najib ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat berkata negara mempunyai pengaruh terhadap Amerika Syarikat dan kuasa dunia lain.

Katanya, perkara itu terbukti apabila beliau berjaya memasukkan isu Rohingya dalam agenda perbincangan dengan Trump, walaupun isu itu tidak termasuk dalam topik perbincangan.

Beliau mendakwa sejak 2012 lagi, usul tergempar yang dibawa anggota parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar telah ditolak Dewan Rakyat.

Sinar Harian pada 3 Disember tahun lalu juga memetik Raja Bahrin sebagai berkata, usulnya sendiri ditolak speaker pada 24 November 2016 atas sebab mencampuri urusan negara lain.

"Saya menggesa kerajaan agar berhenti bersandiwara di peringkat antarabangsa, sedangkan apa yang dilakukan di sini adalah sebaliknya," katanya lagi.
 

Lihat Komen
ADS