Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Syurga hidupan liar' Merapoh bakal musnah akibat pembalakan

Kerja-kerja pembalakan yang sedang aktif dijalankan di Mukim Batu Yon, Merapoh, Kuala Lipis melibatkan kawasan seluas 668.79 hektar berhampiran Gua Hari Malaysia, dikhuatiri bakal menjejaskan tempat yang dikenali sebagai ‘syurga hidupan liar’ di kalangan pencinta alam semula jadi.

Lebih memburukkan keadaan aktiviti perlombongan emas dan pasir juga dipercayai sedang dilakukan di situ tanpa mendapat sebarang permit dan kelulusan yang sah daripada pihak penguat kuasa seperti Jabatan Alam Sekitar.

Ini bukan sahaja bakal menjejaskan kawasan ekopelancongan yang menjadi sumber rezeki kepada penduduk tempatan, tetapi juga mengancam sumber bekalan air bersih kepada lebih 100,000 penduduk membabitkan lapan kampung di kawasan sekitar.

Bagi Pengasas Pertubuhan Save Merapoh Cave Mohd Laili Basir, hal itu harus dipandang serius oleh pihak yang berkenaan untuk mengelak kawasan hutan yang berusia lebih 650 juta tahun yang kaya dengan pelbagai khazanah alam itu musnah dek kerakusan pembangunan.

“Kami tidak pernah menghalang pembangunan, namun hasil pemerhatian yang dilakukan, kami tidak nampak bagaimana aktiviti pembalakan dan perlombongan emas ini membantu meningkatkan ekonomi penduduk,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan pembalakan berkenaan di Merapoh, Lipis, baru-baru ini.

Sebaliknya Mohd Laili berkata kegiatan itu hanya merosakkan sektor pelancongan di kawasan itu yang selama ini menjadi antara sumber rezeki penduduk terutama kalangan generasi muda yang menjadi pemandu pelancong dan operator inap desa.

“Merapoh antara destinasi ekopelancongan yang mempunyai lebih 415 gua batu kapur berusia 650 juta tahun dan ini merupakan kubu terakhir untuk hidupan liar, kerana jika kita lihat kawasan hutan bersempadan dengan kawasan ini seperti Kelantan dan Perak juga telah habis di teroka.

“Gua Hari Malaysia yang terdapat di sini juga merupakan gua kedua tercantik di negara ini selepas Gua Niah di Sarawak. Malah di sini juga pelbagai hidupan liar harimau, gajah, beruang, tapir dan kijang selain flora dan fauna lain seperti Padma Tikus atau nama saintifiknya Rhizanthes Loweii (Beccari) Harms (Rafflesia-ceae),” katanya.

Katanya disebabkan keindahan alam semula jadinya, pelbagai acara diadakan di kawasan itu yang secara langsung telah menjana ekonomi penduduk seperti Merapoh Forest Run, Merapoh Mountain Bike, Jom Hogoh Merapoh Caves dan Mt Tahan Climbathon.

Apa yang dikhuatiri katanya, kegiatan pembalakan itu bakal mengubah keindahan wajah Merapoh yang akhirnya menyebabkan tiada lagi kehijauan alam sekitar yang menjadi tarikan pelancong ke kawasan itu.

Sementara itu Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, siasatan persatuan mendapati hutan yang telah diteroka itu adalah milik kerajaan negeri yang telah diberikan kepada LKPP Corporation untuk tujuan pertanian berskala besar.

“Apa yang membimbangkan ialah sebelum aktiviti pertanian itu dijalankan, segala hasil hutan akan dieksploitasi dengan cara tebang habis (cuci mangkuk) dan ini bukan satu amalan pembalakan secara mampan.

“Malah Peka difahamkan pembalak juga tidak mengemukakan sebarang Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) kepada Jabatan Alam Sekitar. Sehubungan itu, kami menggesa kerajaan negeri supaya segera mengambil tindakan menghentikan pembalakan ini.

“Kami juga meminta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar supaya mewartakan kawasan ini dan hutan yang ada di sekitar Merapoh sebagai kawasan sensitif alam sekitar dan satu daripada kawasan geopark di negara ini.

-Bernama

Lihat Komen
ADS