Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

PAS menuntut Datuk S Ambiga memohon maaf susulan dakwaan bekas presiden Majlis Peguam itu membekalkan maklumat salah berkaitan dana diterima PAS kepada Sarawak Report.

“Dia patut minta maaf sebagai peguam yang perjuangkan integriti, yang perjuangkan soal kebenaran, yang perjuangkan pilihan raya bersih, dia patut minta maaf.

“Jadi tak betul (kalau diam),” kata Naib Presiden PAS Idris Ahmad (bawah).



Semalam editor laman pembocor maklumat itu Rewcastle-Brown menamakan Ambiga sebagai sebahagian daripada pembelaannya dalam saman oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Rewcastle-Brown mendakwa, beliau telah bercakap dengan Ambiga pada Julai 2016 berhubung perkara berkaitan 1MDB, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan PAS.

Berdasarkan dokumen mahkamah yang dilihat Malaysiakini, Ambiga didakwa memberitahu Rewcastle-Brown tentang hubungan Najib dengan PAS, termasuk dakwaan persetujuan kewangan antara kedua-dua pihak dan motif di sebaliknya.

Bercakap kepada pemberita di parlimen hari ini, Idris mempertikaikan etika laporan Sarawak Report yang mudah memetik sesuatu sumber tanpa menyelidik sendiri dakwaan berkaitan.

“Sepatutnya (dakwaan berkaitan) sumber kewangan ini mereka kena kesan melalui transaksi kewangan, wang masuk macam mana,” katanya.

Beliau juga membangkitkan persoalan kenapa laman itu sebelum ini boleh menjejak maklumat berkaitan kemasukan derma RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib tetapi tidak berbuat demikian dalam isu berkaitan PAS.

'Ambiga mesti jawab'

Sementara itu anggota jawatankuasa pusat PAS Datuk Khairuddin Aman Razali turut mendesak Ambiga memberi maklum balas dengan segera mengenai kenyataan Rewcastle-Brown itu kerana ia telah merosakkan imej parti Islam itu.

“Ambiga kena respon, dalam penyata Clare, sumbernya adalah Ambiga sahaja dari dengar cakap sedangkan sebelum ini PAS telah dizalimi dengan fitnah begitu besar, ia merosakkan imej PAS.

“Ambiga sebagai peguam kena respon segera, di mana sumber Ambiga, adakah ia suatu andaian ataupun ada sumber yang tepat,” katanya yang juga anggota parlimen Kuala Nerus.

Lihat Komen
ADS