Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Sultan Selangor murka terhadap Dr Mahathir
Diterbitkan:  Nov 2, 2017 3:27 PM
Dikemaskini: 8:06 AM

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mengingatkan semua pihak terutama orang politik supaya tidak mempersendakan isu bangsa dan keturunan sebagai modal politik.

Mengulas petikan ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad pada himpunan “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” yang diadakan di Petaling Jaya, pada 14 Oktober lalu, titah baginda, tindakan itu boleh mengugat keharmonian dan perpaduan rakyat.

Sambil menzahirkan rasa kecewa dan murka, baginda menerusi satu kenyataan media melalui Setiausaha Dewan di-Raja Selangor, Hanafisah Jais, bertitah kenyataan bekas perdana menteri itu dilihat cuba menghasut rakyat untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis.

“Berdasarkan rakaman klip video ucapan berkenaan yang telah tular di media sosial, tohmahan dan kenyataan Mahathir itu jelas menghina dan menggolongkan bangsa Bugis ini kononnya berasal usul dari golongan lanun, perompak dan penjenayah.

“Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor menganggap ucapan berkenaan amatlah keterlaluan dan boleh mencetuskan rasa benci dan prasangka buruk rakyat terhadap bangsa Bugis sehingga boleh mencetuskan kekecohan dan huru-hara.

“Tohmahan ini secara tidak langsung menghina salasihah dan keturunan Kesulatan Selangor yang berasal dari Bugis,” katanya.

Menurut kenyataan itu, fakta sejarah membuktikan Kesultanan Selangor beketurunan Bugis adalah pahlawan yang memperjuangkan dan mempertahankan keamanan di seluruh kepulauan Nusantara.

Titahnya, Mahathir sebagai perdana menteri yang menerajui negara ini selama 22 tahun seharusnya lebih berhati-hati dan mengetahui fakta tentang sejarah keturunan Bugis.

“Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor menjunjung segala titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkaitan dengan isu ini dan berpandangan agar satu siasatan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan atau apa jua undang-undang berkaitan wajar diambil ke atas Mahathir.”

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Muhtar Suhaili juga mahu Mahathir ditahan mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung ucapannya itu.

Katanya, ucapan bekas perdana menteri itu jelasadalah melampau dan kurang ajar.

Mahathir pada ucapannya di sebuah himpunan lain di Alor Setar, pada 20 Oktober lalu, menafikan bahawa beliau menghina keseluruhan keturunan Bugis.

Bercakap di hadapan 2,000 penyokongnya, beliau berkata kenyataan yang dibuatnya hanya merujuk kepada “perompak yang mencuri wang rakyat”.

“Saya tak hina orang Bugis, orang Bugis ada yang baik, tapi penyangak pun ada juga....

“Salah ke (cakap begitu)? Takkan orang Bugis nak kata kalangan orang Bugis tak ada penyangak, ada,” kata Mahathir.

Beliau pada ucapan asalnya itu menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya balik ke Sulawesi, tempat asal bagi mereka yang berketurunan Bugis, termasuk presiden Umno itu.

Antara kenyatannya itu berbunyi: “Mungkin kerana dia (Najib Razak) berasal dari lanun Bugis. Entah macam mana dia sesat sampai ke Malaysia. Pergi baliklah ke Bugis."

Himpunan "Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi" itu diadakan bagi memberi penerangan mengenai skandal kewangan 1MDB dan kesannya kepada rakyat Malaysia.

1MDB yang adalah cetusan ilham Najib. Ia kini menjadi siasatan di beberapa negara termasuk Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang mendakwa sebanyak AS$4.5 bilion diselewengkan dan sebahagian dana itu telah disalurkan menerusi sistem kewangan negara itu.

DOJ telah memfailkan beberapa saman sivil sejak tahun lalu untuk merampas dakwaan hasil penyelewengan dan juga mendedahkan pada pemfailan mahkamah bahawa siasatan jenayah sedang dijalankan.

Saman pelucuthakan sivil DOJ mengaitkan "Malaysian Official1" (MO1) dalam skandal 1MDB dan memaklumkan bahawa sebahagian dana firma pelaburan negara Malaysia itu telah dialihkan melalui akaun banknya dan digunakan untuk membeli berlian kepada isterinya.

MO1 didakwa merujuk kepada Najib, tetapi perdana menteri itu berulang-kali menafikan dakwaan beliau menyalahgunakan dana awam untuk keuntungan peribadi.

 

Lihat Komen
ADS