Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dua pejawat awam didakwa curi nilai tambah kad TnG

Dua pembantu am dari Jabatan Audit Negara didakwa di Mahkamah Majistret Putrajaya atas 235 tuduhan mencuri nilai tambah kad Touch 'n Go milik jabatan itu menyebabkan kerugian lebih RM18,000.

Normaidzatulaqma Iskandar, 36 dari Putrajaya berdepan 166 pertuduhan menambah nilai kad Touch' n Go antara 2 Februari 2016 dan 24 April tahun ini berjumlah antara RM1 hingga RM100.

Manakala Farizah Nekmat, 37 dari Bandar Baru Salak Selatan didakwa atas 69 tuduhan menambah nilai kad Touch 'n Go antara 5 Disember tahun lalu hingga 24 April tahun ini antara RM1 hingga RM100

Mereka dituduh menambah nilai kad berkenaan sepanjang waktu pejabat, selepas waktu pejabat dan bahkan juga sewaktu cuti umum.

Oleh sebab itu, Normaidzatulaqma didakwa menyebabkan kerugian kepada jabatan itu berjumlah RM12,000 sementara Farizah lebih daripada RM6,000.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 10 tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan.

Kedua-dua mereka tidak diwakili peguam.

Normaidzatulaqma, ketika meminta ikat jamin dikurangkan berkata dia adalah ibu tunggal kepada empat orang anak berusia antara lapan dan 18 tahun serta terpaksa membayar hutang suaminya yang menceraikannya tanpa memberikan sebarang nafkah.

Dia juga mengatakan perlu menanggung ibunya yang merupakan seorang pesara.

Sementara itu, Farizah berkata dia telah berkahwin dan memiliki tiga orang anak serta perlu menyara kedua ibu bapanya.

Majistret Azizah Ahmad membenarkan ikat jamin dengan seorang penjamin sebanyak RM14,000 bagi Normaidzatulaqma dan RM8,000 bagi Farizah.

Mahkamah juga menetapkan 5 Disember untuk sebutan kes bagi membenarkan kedua-dua tertuduh melantik peguam.

DPP Muhammad Izzat Fauzan mewakili pihak pendakwaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS