Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Sultan murka terhadap Mahathir: PAS junjung kasih
Diterbitkan:  Nov 3, 2017 4:02 PM
Dikemaskini: 8:08 AM

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi menjunjung kasih atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung petikan ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa menghina dan memperlekeh bangsa Bugis.

Katanya, keburukan perilaku atau perkara tidak baik seseorang seharusnya tidak disandarkan kepada kaum atau keturunan.

“Sementelah bangsa Bugis merupakan sebahagian salasilah keturunan keluarga di-Raja Selangor dan sejarah telah merakamkan kepahlawanan serta kehebatan bangsa Bugis yang menjadi kebanggaan rakyat negeri khususnya.

“Justeru PAS Selangor bersama dengan titah DYMM tuanku dan mengharap agar kita sentiasa mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera serta menjauhi amalan politik perkauman dan benci membenci,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam Harakahdaily.

Semalam, baginda menzahirkan rasa kecewa dan murka terhadap Mahathir berhubung ucapannya pada himpunan “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” yang diadakan di Petaling Jaya, pada 14 Oktober lalu.

Titah baginda, kenyataan beks perdana menteri itu boleh mengugat keharmonian dan perpaduan rakyat serta dilihat cuba menghasut rakyat untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis.

Memetik surah Al-Hujurat, Sallehen berkata, sesungguhnya semulia-mulia mereka di sisi Allah adalah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, dan bukan yang lebih keturunan atau bangsanya.

“Allah menjadikan manusia dari pelbagai bangsa dan kaum adalah dengan tujuan supaya berkenalan dan berkasih sayang serta hidup dengan kerukuna,” katanya.

Mahathir pada 20 Oktober lalu, menafikan bahawa beliau menghina keseluruhan keturunan Bugis dan berkata, kenyataan yang dibuatnya hanya merujuk kepada “perompak yang mencuri wang rakyat”.

“Saya tak hina orang Bugis, orang Bugis ada yang baik, tapi penyangak pun ada juga....

“Salah ke (cakap begitu)? Takkan orang Bugis nak kata kalangan orang Bugis tak ada penyangak, ada,” katanya.

Beliau pada ucapan asalnya itu menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya balik ke Sulawesi, tempat asal bagi mereka yang berketurunan Bugis, termasuk presiden Umno itu.

Antara kenyatannya itu berbunyi: “Mungkin kerana dia (Najib Razak) berasal dari lanun Bugis. Entah macam mana dia sesat sampai ke Malaysia. Pergi baliklah ke Bugis."

Himpunan "Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi" itu diadakan bagi memberi penerangan mengenai skandal kewangan 1MDB dan kesannya kepada rakyat Malaysia.

1MDB yang adalah cetusan ilham Najib. Ia kini menjadi siasatan di beberapa negara termasuk Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang mendakwa sebanyak AS$4.5 bilion diselewengkan dan sebahagian dana itu telah disalurkan menerusi sistem kewangan negara itu.

DOJ memfailkan beberapa saman sivil sejak tahun lalu untuk merampas dakwaan hasil penyelewengan dan juga mendedahkan pada pemfailan mahkamah bahawa siasatan jenayah sedang dijalankan.

Saman pelucuthakan sivil DOJ mengaitkan "Malaysian Official1" (MO1) dalam skandal 1MDB dan memaklumkan bahawa sebahagian dana firma pelaburan negara Malaysia itu telah dialihkan melalui akaun banknya dan digunakan untuk membeli berlian kepada isterinya.

MO1 didakwa merujuk kepada Najib, tetapi perdana menteri itu berulang-kali menafikan dakwaan beliau menyalahgunakan dana awam untuk keuntungan peribadi.

Lihat Komen
ADS