Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ADUN BN Selangor: Bajet cari populariti, gula-gula PRU

Wakil rakyat BN Selangor mengkritik Belanjawan 2018 negeri itu yang dibentang Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dengan menyifatkannya hanya untuk mencari populariti dan gula-gula menjelang pilihan raya umum (PRU) yang bakal menjelang.

Mereka juga menganggap belanjawan tersebut banyak meniru Bajet 2018 oleh kerajaan persekutuan, misalnya dalam aspek memberi wang tunai kepada rakyat.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang Datuk Shukor Idrus mendakwa lebih separuh daripada bonus tiga bulan kepada penjawat awam negeri itu sebenarnya sudah diberikan.

"Hanya sebulan sahaja (sebenarnya), dua bulan sudah diberi tahun ini. Tetapi kerana untuk popular, umumlah tiga bulan (bonus)," katanya kepada pemberita selepas pembentangan belanjawan di Dewan Undangan Negeri (DUN), Shah Alam, hari ini.

Ketika pembentangan tadi, Azmin berkata sebanyak RM94.65 juta untuk pemberian bonus itu, dan akan turut dinikmati 6,725 guru KAFA, 371 ketua kampung tradisi, 78 ketua kampung baru Cina dan 48 ketua komuniti India.

Bonus dua bulan tersebut sudah diberikan ketika sambutan Hari Raya lalu dan sebulan lagi akan dibuat 21 Disember ini.

ADUN Batang Kali Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan (gambar) pula berkata pemberian itu tidak mengambil kira kakitangan kerajaan pusat yang bekerja dan terlibat dalam pembangunan negeri.

"Jumlahnya 50,000 kakitangan. Mereka tak ambil kira polis, guru dan pelbagai lagi jabatan kerajaan pusat. Saya minta tengok semula hal yang terlepas pandang ini," katanya.

Shukor juga mendakwa banyak inisiatif dalam belanjawan negeri meniru kerajaan persekutuan, yang sering disifatkan sebagai 'dedak' oleh pembangkang.

"(Selain penjawat awam) Beri kepada ketua kampung, siak. Selama ini mereka anggap BR1M sebagai dedak, tetapi ini pun seperti dedak. Sama sahaja," katanya.

Isu pendidikan percuma melalui universiti milik kerajaan negeri, Universiti Selangor (Unisel) sekali lagi dibangkitkan, kali ini oleh ADUN Sungai Panjang Budiman Zohdi (gambar).

Katanya, kerajaan Selangor sepatutnya menjadi contoh melaksanakan pendidikan percuma melalui institusi miliknya, apatah lagi dasar itu turut dimasukkan dalam belanjawan alternatif 2018 Pakatan Harapan.

"Tetapi ia tidak langsung terbayang dalam bajet yang diumumkan. Selain dari meneruskan polisi sedia ada, boleh dikatakan tiada perkara baru yang diumumkan.

"Segala tohmahan kononnya bajet kerajaan persekutuan bersifat gula-gula PRU ke-14, akhirnya terpercik ke muka mereka sendiri," katanya lagi.

Kerajaan Selangor hari ini membentangkan Bajet 2018 bertemakan 'Membangun Bangsa, Memakmur Negeri' dengan peruntukan berjumlah RM3.12 bilion dan defisit RM870 juta.

Sejumlah RM1.66 bilion diperuntukkan untuk pembangunan, dan baki RM1.46 bilion untuk pengurusan.

Lihat Komen
ADS