Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kepala bapak kau’, Najib hilang ‘cool’

ULASAN “Kepala bapak kau”, ini kalimah garang yang termuntah daripada mulut perdana menteri semasa berucap dalam Perhimpunan Agung MCA pada hari Ahad, 5 November.

Kita percaya Najib Razak menujukan terjahan kesat itu terhadap Tun Mahathir yang hari ini sudah bersama dalam kem pembangkang.

Tidak kisahlah jika Najib Razak ingin terus bermain politik 'injak kepala bapak', tetapi yang jelas ucapan Najib itu menyerlahkan lagi wajah hipokrasinya dan Umno.

Bahasa depan pengundi Cina

Di hadapan anggota MCA yang memenuhi dewan, Najib menyatakan jika masyarakat Cina mahu lebih peluang dalam ekonomi, maka mereka perlu beri undi pada BN.

Najib juga berkata walau sebijak mana pun masyarakat Cina berniaga, tanpa keamanan politik yang dibina BN, masyarakat cina tidak boleh 'buat duit'.

Setelah itu, Najib melengkap rumus ucapannya dengan serangan terhadap DAP.

Najib berhujah bahawa DAP tidak akan mampu memerintah walaupun memenangi banyak kerusi kerana pakatan pembangkang tidak akan memenangi pilihan raya umum.

Oleh itu Najib cuba menggambarkan adalah sia-sia untuk masyarakat Cina memberi undi kepada DAP.

Dewan penuh, tapi undi terus hilang

Begitulah laras bahasa Najib di hadapan anggota MCA yang dianggapnya sebagai penyokong tegar BN.

Ucapan sarat dengan egois dan seakan memperkecilkan kemampuan daya fikir masyarakat Cina.

Apa yang jelas, cara fikir Najib ini menterjemah cara fikir Umno yang masih tidak beranjak daripada fikrah konservatif mereka.

Najib perlu sedar begitulah MCA dulu, kini dan selamanya. Setiap kali persidangan, anggota MCA akan memenuhi dewan.

Tetapi undi Cina kepada BN terus merosot. Bila agaknya Najib akan mengerti bahawa masyarakat Cina sudah cukup arif dengan sandiwara politik Umno?

Masih tak belajar

Apakah Najib tidak tahu yang masyarakat Cina sudah cukup tahu bagaimana laras bahasa Najib dan Umno di depan orang Melayu?

Apakah Najib fikir yang masyarakat cina lupa bagaimana Najib membela Utusan Malaysia apabila akhbar itu menerbitkan artikel “Apa lagi Cina mahu?” pada tahun 2013.

Bukankah setiap kali persidangan Umno, Najib dan gerombolannya akan sentiasa membangkit-bangkitkan soal ketuanan Melayu yang kononnnya sedang dicabar?

Di hadapan penyokong Melayu, Najib berkata setiap undi kepada pembangkang akan memberi kuasa kepada DAP.

Di hadapan penyokong Cina, ayatnya bertukar kepada DAP tidak akan pernah berkuasa.

Jelas sekali Naijb terdorong dengan perasaan marah dan terdesak, akhirnya menyebabkan beliau hilang 'cool'.

Moga Najib dan Umno akan terus dihukum dalam PRU14 yang akan datang kerana sikap hipokrasi dan bermuka-muka mereka.


SYUKRI RAZAB merupakan setiausaha Pengelola Angkatan Muda PKR merangkap pengarah Strategi Pemuda HARAPAN Malaysia, dan turut menjadi aktivis sepenuh masa INVOKE Malaysia. Penulis boleh dihubungi melalui e-mel [email protected]

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS