Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ini tak boleh kata darurat, kata Zamihan
Diterbitkan:  Nov 7, 2017 2:58 PM
Dikemaskini: 7:26 AM

Penceramah kontroversi Zamihan Mat Zain berkata kejadian masyarakat Cina tumpang berteduh di sebuah surau di Georgetown, Pulau Pinang ketika banjir besar tidak sepatutnya berlaku.

Katanya, situasi itu masih tidak boleh dikelaskan sebagai darurat.

“Situasi gambar di atas tidak sepatutnya berlaku,” kata pegawai kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang sebelum ini berdepan kontroversi mengkritik sultan Johor dalam isu dobi khusus untuk orang Islam.

“Ia tidak boleh dikategorikan sebagai darurat kerana masih ada ikhtiar lain untuk keperluan mereka.”



Walaupun terdapat perbezaan pendapat pendapat berkaitan hukum agama, rata-rata warga maya memuji langkah bilal Surau Taman Free School itu yang mempelawa sekumpulan masyarakat Cina, lelaki dan perempuan dewasa, berteduh di rumah ibadat itu.

Berdasarkan gambar yang tular, kelihatan seorang lelaki yang tidak berbaju kesejukan, seorang wanita berseluar pendek paras lutut, manakala yang lain sedang duduk atau berbaring menghilangkan kepenatan mereka.

Sapno Tukijo, 50 dilaporkan berkata penduduk bukan Islam itu pada asalnya mahu menumpang di kuil berhampiran tetapi dihalang arus deras, menyebabkan beliau mempelawanya ke surau demi keselamatan.

Mengakui sedar akan dikecam, Sapno berkata beliau tentu akan lebih rasa bersalah melihat mangsa banjir tiada arah tujuan atau lebih buruk dihanyutkan arus deras.

Dalam kenyataan di Facebook semalam, Zamihan berkata pihak pengurusan surau itu perlu mengingatkan mereka dengan adab dan syarat bagi menjaga kesucian masjid.

Beliau turut berkongsi kembali gambar tersebut dengan teman dan pengikutnya di media sosial itu.

Sementara itu, Zamihan juga membentangkan beberapa hukum sama ada orang bukan Islam boleh masuk dan duduk dalam masjid.

Antaranya, berdasarkan pandangan iman Shafie, hukum asal membolehkan perkara itu dengan keizinan dari orang Islam yang baligh dan berakal (pemerintah) sekalipun orang kafir tersebut dalam keadaan junub kecuali Masjidil Haram. [Baca pandangan penuh]

Dalam perkembangan terkini petang ini, tulisan itu tidak lagi kelihatan, kemungkinan dipadam.

Wan Ji ingatkan kisah Sumamah

Sementara itu, ketua biro agama Pemuda PKR (AMK) Wan Ji Wan Hussin pula berkata berdasarkan hadis, amalan itu tidak salah.

“Dalam hadis ada menyebut bahawa pada zaman Nabi, ada seorang orang bukan Islam bernama Sumamah bin Usal dibawa oleh Nabi ke dalam masjid.

“Akhirnya, Sumamah bin Usal itu peluk agama Islam. Hadis ini menjadi dalil bahawa non-Muslim tidak salah masuk dalam masjid,” katanya.

Pegawai penerangan di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng juga berkata warga negeri itu dididik bahawa “rahmat sekalian alam” adalah pendekatan Islam yang dipandang tinggi.

“Ekoran itu, tidak menjadi hairan dan susah bagi masyarakat kami membantu sesiapa sahaja yang berhadapan sebarang kesusahan dan musibah seperti dalam hal banjir, waima melibatkan rumah ibadat kami seperti masjid atau surau.

“Kami juga tolak pendekatan keras dan pemaksaan seperti yang diamalkan oleh Taliban, kerana kami percaya pendekatan itu membawa hubungan tidak baik sesama kami.

“Kami minta tolong dari sebarang pihak dari luar Pulau Pinang, agar tidak membuat kenyataan atau tindakan yang mengeruhkan hubungan baik sesama kami rakyat Pulau Pinang,” katanya.

Lihat Komen
ADS