Malaysiakini
BERITA

'Tertuduh tahu 12 buku miliknya ada kaitan pengganas'

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 7 Nov 2017, 9:28 pagi

Mahkamah Rayuan diberitahu bahawa bekas pelajar sarjana sebuah universiti awam mengetahui kesemua 12 buah buku yang menjadi subjek dalam pertuduhannya yang digunakan untuk penyelidikan ketika dalam proses menyiapkan tesisnya mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.

Timbalan Pendakwa Raya Faizah Mohd Salleh berhujah bahawa perayu iaitu Siti Noor Aishah Atam juga tidak menafikan tentang pemilikan kesemua 12 buah buku berkenaan.

Hujahnya tidak wujud kecacatan pada pertuduhan yang disabitkan terhadap Siti Noor Aishah, 30, sehingga menjejaskan pembelaannya, dan mahkamah perlu menilai sama ada pertuduhan yang disabitkan itu selamat atau tidak.

"Walaupun pihak pembelaan membangkitkan isu pertuduhan yang disabitkan terhadap perayu telah gagal dibuktikan, tetapi tiada sebarang keterangan yang baharu dikemukakan," hujahnya.

Beliau berhujah demikian pada kes rayuan pihak pembelaan berhubung sabitan dan hukuman terhadap Siti Noor Aishah yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah memiliki 12 buah buku berkaitan kumpulan pengganas, pada 26 April lepas.

'Buku untuk tujuan kajian'

Selain itu Faizah selaku responden berhujah bahawa keterangan pembelaan yang diberikan oleh Siti Noor Aishah pada perbicaraan yang lepas juga gagal membuktikan keraguan munasabah pada kes pihak pendakwaan.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili perayu, berhujah bahawa pemilikan buku untuk tujuan pembelajaran dan ilmu adalah satu pemilikan yang tidak boleh dikaitkan dengan perbuatan pengganas dan pertubuhan pengganas.

Beliau berhujah bahawa Siti Noor Aishah membeli kesemua buku itu dan disimpan untuk tujuan kajian dan menambah pengetahuannya kerana buku-buku tersebut relevan dengan tajuk tesisnya iaitu 'Implikasi Tauhid Dalam Pentadbiran Negara'.

"Kalau dilihat dari segi koleksi buku perayu, sememangnya perayu memiliki banyak buku genre dan pelbagai tajuk, adalah sukar baginya untuk tahu buku-buku itu boleh dikaitkan dengan pengganas," hujahnya.

Pihak pendakwaan dan pembelaan berhujah di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Tangguh keputusan

Mahkamah menangguhkan keputusan terhadap rayuan berkenaan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian bagi mengkaji beberapa isu perundangan berhubung kes tersebut.

Wanita itu yang pernah menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam jurusan Akidah dan Pemikiran Islam di Universiti Malaya pada 2013, diperintah menjalani hukuman lima tahun penjara bermula tarikh tangkap dan dijangka dibebaskan pada 22 Julai 2019.

Pada 19 April 2016, Siti Noor Aishah, didakwa di Mahkamah Majistret Kemaman, Terengganu, atas pertuduhan memiliki 12 buah buku berkaitan kumpulan pengganas dan pada 25 Julai tahun sama, wanita itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan itu.

Wanita itu dituduh memiliki buku yang merupakan item berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas iaitu kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI), IS dan Al Qaeda (AQ).

Dia yang kini ditahan di Penjara Kajang didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 1241, Jalan Lapangan Terbang Sura, Dungun, Terengganu pada 12.25 tengah hari, 22 Mac lepas, mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan mana-mana item tersebut, jika sabit kesalahan.

Pada 29 September 2016, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Siti Noor Aishah daripada pertuduhan berkenaan setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Bagaimanapun, pada 27 Mac 2017, Mahkamah Rayuan memerintahkan tertuduh membela diri atas pertuduhan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan membebaskan tertuduh.


-Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.