Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPKT salur bantuan lepas banjir ke Pulau Pinang

Kerajaan Pulau Pinang telah meminta bantuan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyalurkan khidmat bagi kerja-kerja pembersihan pasca banjir di negeri itu.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata beliau telah menerima panggilan daripada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pagi tadi bagi membincangkan bentuk bantuan yang dapat disalurkan kementerian itu.

“Kejadian selepas banjir juga adalah perkara yang menyedihkan. Saya bersama Lim walaupun berbeza fahaman politik tetapi dalam nak membantu menyelesaikan masalah rakyat kami kena ketepikan soal politik.

“(Menerusi panggilan pagi tadi) beliau telah meminta KPKT menyalurkan bantuan peralatan untuk membersihkan jalan raya, pokok tumbang di bandar serta backhoe dan lori daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Inovasi Peringkat KPKT di Putrajaya hari ini.

Noh berkata memandangkan Pulau Pinang tidak menandatangani Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), maka urusan pengurusan sampah dan sisa pepejal adalah di bawah pengurusan kerajaan negeri.

Peralatan mesin dan lori

“Tetapi dalam hal ini, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah menghubungi syarikat Environment Idaman (E-Idaman) untuk menghantar 40 pekerja selain peralatan mesin dan lori bagi kerja-kerja pembersihan pasca banjir di kawasan Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

"Bagi kawasan pulau di negeri itu ianya akan diuruskan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Selain itu, beliau berkata seramai 1,000 anggota bomba di negeri itu telah ditempatkan mengikut zon untuk membantu mangsa-mangsa banjir serta tambahan 30 anggota lagi dan peralatan dibawa dari balai bomba yang berdekatan.

Dalam pada itu, Noh turut menyarankan semua kerajaan negeri mengambil kira pandangan diberikan Plan Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa untuk setiap rancangan projek pembangunan di negeri masing-masing.

Beliau berkata saranan daripada jabatan tersebut seharusnya diambil kira bagi mengelak perkara-perkara yang tidak diingini daripada berlaku sebagaimana kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Tanjung Bungah, Pulau Pinang baru-baru ini.

“Kalau diikutkan pandangan daripada Pelan Malaysia iaitu di mesyuarat jawatankuasa teknikal dan mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri kita tidak menyokong projek tersebut dijalankan.

"Namun, oleh kerana di dalam mesyuarat itu hanya kita yang tidak menyokong tapi anggota mesyuarat yang lain mempunyai pandangan berbeza jadi akhirnya projek tersebut tetap dilaksana.

"Semua kerajaan negeri seharusnya mengambil kira pandangan teknikal daripada jabatan tersebut kerana sekiranya berlaku hujan dan sebagainya, faktor sistem pengaliran air dan longkang mesti diambil kira,” katanya.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS