Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Korea Utara, perdagangan dijangka agenda utama Trump-Xi Jinping
Diterbitkan:  Nov 9, 2017 10:28 AM
Dikemaskini: 3:02 AM

Isu Korea Utara dan perdagangan mungkin menjadi agenda utama apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping mengadakan perbincangan rasmi hari ini, sehari selepas Trump memberi amaran kepada Pyongyang mengenai bahaya besar membangunkan senjata nuklear.

China berminat untuk menunjukkan pentingnya lawatan Trump, yang pertama oleh seorang pemimpin asing sejak berakhirnya Kongres Parti Komunis bulan lalu di mana Xi mengukuhkan kuasa beliau.

Semalam, Xi mengiringi Trump dan isterinya dalam lawatan ke Forbidden City.

Trump telah mempertingkatkan kritikannya mengenai lebihan dagangan yang besar China dengan Amerika Syarikat - yang digambarkannya sebagai "memalukan" dan "dahsyat" minggu lepas - dan menuduh Beijing mengamalkan dagangan yang tidak adil, menimbulkan kebimbangan meningkatnya ketegangan antara kedua-dua negara perdagangan terbesar di dunia.

Bagi pihaknya, China mengatakan sekatan Amerika Syarikat terhadap pelaburan China di Amerika Syarikat dan eksport berteknologi tinggi perlu ditangani.

Kira-kira AS$250 bilion (RM1,057 bilion) urusniaga dengan syarikat AS dijangka akan diumumkan semasa lawatan itu, kata mereka yang biasa dengan perkara itu, dengan beberapa CEO korporat di Beijing menjadi  sebahagian daripada delegasi yang diketuai oleh Setiausaha Perdagangan AS Wilbur Ross.

Ada di kalangan komuniti perniagaan AS yang menyatakan kebimbangan bahawa kejayaan mendapat kontrak itu mungkin menjejaskan aduan selama ini terhadap sekatan akses pasaran di China.

"Ini menunjukkan yang kita ada hubungan ekonomi dua hala yang kukuh, tetapi kita masih perlu memberi tumpuan kepada padang permainan yang sama rata, kerana wujudnya keadaan berterusan yang tidak menguntung syarikat AS menjalankan perniagaan di China," kata William Zarit, pengerusi Dewan Perniagaan Amerika di China.

[Baca berita penuh]

- Reuters

Lihat Komen
ADS