Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis: Tiada gangsterisme di T'ganu kerana faktor Melayu
Diterbitkan:  Nov 9, 2017 12:07 PM
Dikemaskini: 4:17 AM

Tiada sebarang kegiatan gangsterisme di Terengganu dan ini disahkan hasil tinjauan pihak polis sejak beberapa tahun lalu, kata Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail.

Beliau berkata ketiadaan kegiatan itu di Terengganu ada kaitannya dengan faktor populasi rakyat Terengganu yang 97 peratus bangsa Melayu.

"Di Terengganu, 97 peratus penduduknya adalah orang Melayu dan mereka ini masih menghormati orang yang lebih tua di kampung mereka.

"Mereka hormat ketua kampung, tok imam dan bilal. Budaya hidup seperti ini adalah satu kelebihan yang dapat menghindarkan daripada berlakunya kes-kes jenayah yang melibatkan gangsterisme di Terengganu," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di sini hari ini.

Aidi berkata sikap rakyat Terengganu yang masih mengamalkan budaya hidup 'menjaga tepi kain orang' turut membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu dalam membanteras aktiviti gangsterisme di negeri ini.

Polis Terengganu juga sering mendapat maklumat awal daripada penduduk kampung yang sangat proaktif menyalurkan perkara mencurigakan yang berlaku di perkampungan mereka.

Aidi berkata mereka sering berhubung dengan pihak polis sekiranya tahu mengenai kejadian tertentu seperti penagihan dadah dalam kalangan belia di kawasan mereka.

"Untuk rekod, kadar jenayah indeks Terengganu adalah sebanyak 1,705 kes yang merekodkan penurunan sebanyak 135 kes iaitu 7.3 peratus dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Ini menjadikan Terengganu negeri ketujuh dalam pengurangan jenayah indeks di seluruh Malaysia," katanya.

Lebih membanggakan, kadar penyelesaian kes bagi Kontinjen Terengganu adalah sebanyak 76.6 peratus iaitu yang tertinggi berbanding semua kontinjen di seluruh Malaysia.

Aidi berkata kejayaan itu dicapai susulan banyaknya tindakan pencegahan operasi dan pelan strategik yang dirancang dan dilaksanakan PDRM Terengganu.

"Penglibatan masyarakat bersama-sama PDRM banyak membantu kami membanteras jenayah dan kami lakukannya secara berterusan...tindakan operasi dan serbuan terancang adalah penyumbang kepada penurunan kadar tersebut.

"Jabatan Siasatan Jenayah bukan hanya melaksanakan tindakan membanteras jenayah semasa, tetapi juga giat mengambil tindakan di bawah Akta Jenayah 1959," katanya.

Beliau turut berharap kerjasama padu daripada rakyat Terengganu ini akan diteruskan pada masa hadapan demi menjamin kesejahteraan dan keselamatan penduduk negeri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS