Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Maszlee: Lantik pakar nilai kemampuan Zamihan pulihkan militan
Diterbitkan:  Nov 9, 2017 9:16 PM
Dikemaskini: Jan 16, 2020 2:40 AM

Ahli akademik Dr Maszlee Malik mencadangkan agar kepakaran penceramah kontroversi Zamihan Mat Zin dalam pemulihan pengganas dinilai oleh pakar bebas.

Ia bagi membuktikan kepada masyarakat yang beliau sememangnya berkemampuan menjalankan tugas penting itu, seperti yang dinyatakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

"Jika benar tokoh yang selalu mengeluarkan kenyataan kebencian dan perkauman adalah aset kepada usaha Kementerian Dalam Negeri untuk mengangani pengganas, ia patut dinilai oleh pakar lain atau pihak ketiga seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), atau penyelidik yang membuat kajian tentang perkara itu.

"Rakyat juga ingin melihat laporan daripada sesi (pemulihan) yang dijalankannya, dan sebarang contoh berkaitan mereka yang berjaya dipulihkan Zamihan," katanya kepada Malaysiakini.

Zahid hari ini berkata, kepakaran Zamihan masih diperlukan dalam program pemulihan tahanan militan IS.

Walaupun telah dilarang untuk berceramah di Selangor, Zahid berkata kepakaran Zamihan dalam soal pemulihan akidah militan masih boleh dimanfaatkan.

Zahid mengulas anggota Majlis Pimpinan Tinggi PKR Latheefa Koya yang mempersoalkan mengapa Zamihan masih ditugaskan mengendalikan program pemulihan itu walaupun telah dilarang memberi kuliah di Selangor.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula dengan tidak merujuk Zamihan secara khusus, mempertikaikan kemampuan "'pelampau' untuk memulihkan pemikiran pelampau".

Maszlee yang merupakan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, kenyataan bernada umum Zahid itu hanya mewujudkan perasaan tidak percaya rakyat terhadap usaha kerajaan melawan keganasan.

"Rakyat pastinya tidak mahu tahanan yang didakwa terlibat dengan IS bertukar menjadi pentaksub yang bersikap perkauman pula apabila bebas dari penjara nanti," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS