Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Khutbah: Jangan hilang pedoman berdepan banjir
Diterbitkan:  Nov 10, 2017 1:02 PM
Dikemaskini: 5:05 AM

Mimbar hari ini memperingatkan orang ramai yang ditimpa bencana alam tidak hilang pedoman dan mencela nasib diri kerana ia adalah ujian Allah.

“Kepada saudara-saudaraku yang ditimpa bencana, usahlah kita bertindak seperti hilang pedoman beragama.

“Jauhi diri kita daripada mencela nasib, memaki hamun pada hujan dan banjir seolah-olah mempertikai perkara yang telah ditetapkan kepada kita di atas kekuasaan Allah SWT,” kata teks khutbah yang bertajuk “Fenomena alam bukti kebesaran Allah”.

Khutbah itu dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ketika Pulau Pinang dan Kedah mengalami banjir besar sehingga meragut tujuh nyawa.

Lembah Klang turut berdepan banjir kilat yang melumpuhkan beberapa lebuh raya sebelum ini.

Menurut mimbar, setiap orang yang ditimpa musibah perlu percaya kepada ketentuan Allah kerana setiap yang terjadi mempunyai hikmah yang tersembunyi.

“Sebagai seorang Muslim beriman dan percaya pada qadak dan qadar, yakinlah bahawa setiap perkara yang terjadi sama ada baik atau buruk, suka atau duka, kesenangan atau kesusahan, semuanya ada hikmah yang tersembunyi, bukti kebesaran Allah,” menurut teks itu.

Mimbar turut mengingatkan mangsa yang ditimpa musibah supaya bersabar dengan ujian Allah kerana ia mampu memperteguhkan keimanan kepadanya.

“Kesusahan dan kepayahan menghadapi bencana mampu melatih kesabaran kita untuk memperteguhkan keimanan dalam melaksanakan banyak lagi perintah dan larangan Allah SWT.

“Sesungguhnya, pahala kesabaran adalah bekalan yang dapat menambahkan nikmat untuk kita di syurga kelak,” kata teks itu lagi.

Justeru mimbar mengingatkan semua pihak agar sama-sama berganding bahu membantu mangsa banjir yang ditimpa bencana alam itu.

“Walaupun situasi bencana memberi kesan buruk kepada mangsa, sisi positifnya ia menyerlahkan kebersamaan semua pihak yang bersolidariti menghulurkan tangan membantu tanpa prejudis.

“Inilah masa terbaik untuk kita bersatu hati di bawah satu lambang perpaduan, menyemai sikap kasih sayang dan bermuafakat untuk kemajuan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Lihat Komen
ADS