Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan digesa campur tangan isu hotel larang pekerja bertudung
Diterbitkan:  Nov 12, 2017 12:17 PM
Dikemaskini: 4:28 AM

Kerajaan digesa campur tangan bagi mengubah dasar yang diamalkan sesetengah hotel di negara ini yang melarang wanita bertudung daripada bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontdesk).

Ini kerana dasar itu jelas berbentuk diskriminasi dan prejudis berasaskan agama, dan bukannya atas faktor perniagaan, kata sebuah gabungan NGO bernama Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the Universal Periodic Review Process (MACSA).

“Ini adalah dasar yang sangat buruk di negara majoriti Muslim seperti Malaysia, di mana pelanggan mempunyai jangkaat melihat kakitangan sebagai wakil kepada negara.

"Ia juga dibuat tanpa asas undang-undang. Ia boleh diubah, dan harus diubah," kata pengerusi bersama MACSA, Azril Mohd Amin dan Dr Rafidah Hanim Mokhtar dalam satu kenyataan bersama.

Azril juga ketua pegawai eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra), manakala Rafidah presiden Wanita Antarabangsa Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq).

Walaupun mengakui majikan berhak untuk mengenakan kod pemakaian kepada pekerjanya, malah pemakaian agama jika atas sebab keselamatan atau kesukaran untuk melaksanakan tugas, mereka berkata ia mestilah dalam keadaan perlu sahaja.

"Pemakaian tudung tentunya tidak jatuh dalam mana-mana kategori itu. Maka kami menggesa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengambil tindakan sepatutnya untuk mengubah dasar itu," kata mereka.

Terdahulu, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendakwa ada pekerja hotel yang mengadu berhubung pekerja wanita yang diarahkan menanggalkan tudung mereka.

Uni-MLC juga berkata, larangan serupa turut dikenakan terhadap pelajar yang menghadiri kursus perhotelan dan pelancongan apabila mereka membuat permohonan untuk latihan praktikal.

Namun, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mempertahankan tindakan hotel berkenaan dan berkata ia adalah sebahagian daripada dasar antarabangsa.

Menurut laman The Malaysian Insight, Presidennya Cheah Swee Hee berkata, setiap hotel mempunyai prosedur operasi piawai (SOP) masing-masing, dan wanita yang bertudung masih boleh bekerja di hotel yang tidak mengamalkan dasar itu.

Membidas kenyataan itu, MACSA berkata banyak hotel di seluruh dunia, dan juga Malaysia, tidak mengenakan sekatan berdasarkan agama itu.

"Sesiapa yang sering mengembara akan tahu kenyataan Cheah tidak tepat. Tiada SOP antarabangsa yang melarang tudung, ia diskriminasi semata-mata.

"Tiada data menunjukkan kakitangan bertudung memberikan kesan negatif kepada kepuasan pelanggan," kata MACSA sambil menambah, ia memberi kesan negatif kepada industri perhotelan negara.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar turut mendesak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menarik balik lesen hotel yang mengamalkan dasar itu.

Menurut laporan The Malaysian Insight, beliau berkata ia agar tiada mana-mana syarikat mengamalkan diskriminasi berdasarkan agama.

Anggota Parlimen Lembah Pantai itu juga mendesak kerajaan menjelaskan bagaimana hotel boleh mengamalkan diskriminasi seumpama itu.
 

Lihat Komen
ADS