Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyindir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menurutnya menyerang DAP dengan skrip yang bertentangan.

Beliau berkata, bergantung pada keadaan tertentu, Najib "lupa untuk mengikut skrip" berhubung sama ada DAP akan menang besar ataupun kalah pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

"Sebagai contoh di mesyuarat agung MCA, perdana menteri kata mustahil DAP boleh menubuhkan kerajaan persekutuan walaupun menang besar, untuk meyakinkan pengundi Cina agar menyokong MCA agar mereka ada wakil dalam kerajaan.

"Sedangkan awal tahun ini, perdana menteri memberitahu orang Melayu bahawa jika Pakatan Harapan (HARAPAN) menang, DAP yang menguasai kerajaan baru.

"Beliau mendakwa walaupun jika BERSATU, PKR dan AMANAH menguasai majoriti kerusi, DAP tetap mengawal kerajaan baru HARAPAN," katanya dalam ucapan pada kongres khas DAP bagi pemilihan semula CEC, di Shah Alam, hari ini.

Lim berkata lagi, pembohongan yang dicipta itu menyebabkan BN sendiri lupa skrip mereka lalu menyatakan sesuatu yang bertentangan.

"Ketika bersama orang Cina dan bukan Melayu, beliau kata DAP tidak boleh tubuhkan kerajaan. Tetapi dengan orang Melayu, beliau berkata lain.

"Jadi mana satu yang betul?" soalnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau berkata DAP perlu mendedahkan maklumat yang salah itu agar dapat memberi keyakinan kepada orang Melayu dan juga bukan Melayu bahawa parti itu bukan ancaman.

Sejak penubuhannya lebih 50 tahun lalu, katanya, DAP telah mengalami banyak perubahan seiring dengan peredaran masa tetapi prinsip terasnya tetap berjuang untuk semua rakyat Malaysia.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS