Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pensyarah dakwa komposisi baru DAP bukti agenda Kristianisasi
Diterbitkan:  Nov 13, 2017 12:00 PM
Dikemaskini: 4:14 AM

Pensyarah politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff mendakwa komposisi baru pimpinan DAP memperkuatkan lagi dakwaan bahawa parti itu memang mempunyai agenda Kristianisasi.

Dalam satu ulasan yang disiarkan di portal rasmi PAS, Harakahdaily, beliau berkata, dakwaan itu berdasarkan penyelidikannya ke atas latar belakang sepuluh orang ahli tambahan yang dilantik ke Jawatankuasa Tertinggi Pusat CEC semalam.

“Adalah didapati bahawa sekurang-kurangnya tujuh daripada mereka adalah penganut Kristian tegar, di mana sebahagian daripada mereka diketahui sebagai terlibat dengan aktiviti evangelisme Kristian,” katanya.

Pensyarah yang sebelum ini pernah meniumbulkan kontroversi dengan mendakwa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh mahu membina semula Malaysia mengikut acuan agama Kristian.

Ia berdasarkan kandungan buku pemimpin wanita DAP itu yang bertajuk 'Becoming Hannah' yang didakwanya seagai usaha untuk memujuk, mempengaruhi atau menghasut orang lain yang bukan beragama Kristian supaya cenderong kepada agama Kristian.

Dalam tulisannya hari ini, pensyarah itu mengulas pemilihan semula CEC DAP pada kongres khas, semalam, yang katanya, menunjukkan keputusan yang tidak jauh berbeza dengan pemilihan pada 15 Disember 2012.

“DAP sebenarnya telah mensesiakan peluang cukup baik untuk memperbaiki imejnya di kalangan pengundi Melayu Islam yang terbentang luas melalui pemilihan semula CEC ini.

“Jika DAP benar-benar serius mahu memperbaiki imejnya di kalangan pengundi Melayu Islam, sudah tentulah tokoh-tokoh Melayu Islam yang bertanding di dalam pemilihan semula CEC ini, seperti (ADUN Mentakab) Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan (bekas senator) Dr Ariffin Omar, akan dipilih.

“Malangnya, hanya (Ahli Parlimen Bukit Bendera) Zairil Khir Johari yang terpilih,” katanya.

Menurutnya, jika DAP benar-benar serius mahu memperbaiki imejnya di kalangan pengundi Melayu Islam, sudah tentulah tokoh-tokoh Melayu Islam akan dipilih atau dilantik.

Ini, katanya terutama bagi mereka yang menyertai parti itu selepas pemilihan CEC pada 15 Disember 2012, seperti bekas pensyarah dan pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim dan bekas duta besar Malaysia Datuk Yeop Adlan Che Rose.

Namun, katanya, daripada mengisi CEC dengan lebih ramai tokoh-tokoh Melayu Islam, DAP malangnya sekadar mengekalkan hanya satu kuota Melayu Islam di dalam kuota lantikan ini.

Ini dengan melantik Tengku Zulpuri Shah bagi menggantikan tempat yang disandang oleh Dr Ariffin.

“Sangat pelik sekali melihat cara para pemimpin DAP berpolitik ini kerana di saat ia sedang menghadapi krisis keyakinan yang serius di kalangan pengundi Melayu Islam, dan di saat ia sedang diserang dengan isu Kristianisasi, tokoh-tokoh Kristian jugalah yang menjadi pilihan utamanya untuk dilantik ke CEC.

“Sedangkan ini hanya akan memperkuatkan lagi dakwaan bahawa DAP memang mempunyai agenda Kristianisasi,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS