Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Arah pekerja buka tudung, hotel boleh didakwa gangguan seksual'
Diterbitkan:  Nov 13, 2017 11:42 PM
Dikemaskini: 4:04 PM

Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) mengecam segelintir hotel yang mengarahkan pekerja wanita mereka menanggalkan tudung dan menyifatkan tindakan itu boleh dikategorikan sebagai gangguan seksual.

Timbalan Presidennya, Salkukhairi Abd Sukor berkata, ini kerana tindakan tersebut bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa tiap-tiap orang Islam berhak mengamalkan ajaran agamanya tanpa halangan daripada mana-mana pihak, selaras dengan Islam sebagai agama persekutuan.

“Alasan kononnya tindakan tersebut selari dengan SOP yang ditetapkan adalah tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Salkukhairi, dari segi undang-undang, sekiranya betul terdapatnya peraturan atau SOP sedemikian, ia boleh dianggap sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan menyebabkan peraturan tidak sah dan terbatal.

Salkukhairi juga berkata tindakan sedemikian boleh dikategorikan sebagai gangguan seksual kepada pekerja wanita Muslim yang ingin melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka sebagai seorang Muslim.

Justeru Salkukhairi menasihati para pekerja wanita yang diarahkan oleh majikan membuka tudung, agar membuat laporan polis dan aduan kepada Jabatan Buruh atau Jabatan Perhubungan Industri untuk mempertahankan hak dan kepentingan mereka.

“HartaGuam juga bersedia menawarkan barisan panel peguam kepada pekerja wanita yang diperlakukan sedemikian untuk memfailkan tindakan undang-undang terhadap majikan mereka supaya ia menjadi tauladan kepada para majikan yang tidak menghormati hak kebebasan beragama para pekerja mereka.

“Selain daripada itu HartaGuam mendesak agar kerajaan menggubal peruntukan khusus di dalam Akta Pekerja atau Akta Perhubungan Industri yang memperuntukkan majikan dikenakan tindakan tegas sekiranya didapati menghalang mana-mana pekerja untuk melaksanakan hak mereka sebagai seorang Muslim,” katanya.

Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) sebelum ini mendakwa ada pekerja hotel yang mengadu berhubung pekerja wanita yang diarahkan menanggalkan tudung mereka.

Beberapa pihak tampil mengecam larangan itu termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia.

Sementara itu, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mempertahankan tindakan hotel tertentu yang melaksanakan larangan itu dan berkata ia adalah sebahagian daripada dasar antarabangsa.

Presiden MAH bagaimanapun dilapor berkata setiap hotel mempunyai prosedur operasi piawai (SOP) masing-masing dan wanita yang bertudung masih boleh bekerja di hotel yang tidak mengamalkan dasar itu.

Presiden MAH cawangan Pulau Pinang pula dilapor berkata tidak menggunakan larangan itu di hotel-hotel mereka kerana dibantah ketua menteri negeri itu.

Lihat Komen
ADS