Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

ULASAN | Binaan daripada batu yang terletak bersebelahan tanah perkuburan itu memang sukar untuk tidak dilihat bagi sesiapa yang melalui jalan berkenaan.

Di antara kawasan perkuburan dengan bangunan itu, pernah berkibar megah bendera PAS. Tidak dapat dipastikan sama ada tiang dan bendera itu masih berkibar. Mungkin ada.

Di Masjid Batu di kawasan Permatang Pauh itu, hampir setiap malamnya akan diisi dengan majlis pengajian.

Ia menjadi antara tempat awal nama Kazim Elias dan Mohd Asri Zainul Abidin mula dikenali. Mereka belum mendapat sebarang gelaran sama ada daripada istana atau menara gading.

Penceramah yang pernah menggemparkan dunia dengan kisah ajaib mayat bertukar menjadi babi juga pernah berkhutbah di situ.

Tidak jauh dari situ ada pula Masjid Papan. Sesuai dengan namanya masjid itu memang diperbuat daripada papan. Disebabkan kedudukan kedua-dua masjid itu hanya dipisahkan jalan raya dan jarak kira-kira 50 meter, solat Jumaat digilirkan.

Dalam bahasa tersirat dan tak tertulis, Masjid Batu ialah masjid PAS, manakala Masjid Papan ialah masjid Umno.

Ketika hujan lebat dan angin kencang membadai Pulau Pinang minggu lepas tidak dapat dipastikan bagaimana keadaan kedua-dua masjid itu.

Harap-harap semuanya terpelihara. Harap-harap masjid itu tidak mengalami kerosakan. Jika tidak, jenuh juga penceramah atau ustaz PAS mencari hujah untuk mengabsahkan apa yang berlaku.

Masjid adalah masjid tetapi pada ketika yang istimewa ia menjadi asbab kepada kekaguman, sama ada secara spontan atau diprojekkan.

Siapa boleh melupakan imej Masjid Baiturrahman di Aceh yang kukuh berdiri ketika seluruh kawasan sekitarnya ranap dibadai tsunami pada 2004 dulu?

Nah, banjir di Pulau Pinang juga mencetuskan intrigue yang hampir sama.

Sebelum, semasa, selepas

Di sela-sela ceramah "tuan guru" tertentu yang menempelak Pulau Pinang kerana angkuh kepada Kelantan, rakaman video suasana air bergenang dalam sebuah masjid beredar dari satu telefon bimbit ke satu telefon bimbit.

Bukan masjid itu tidak dinaiki air ketika kawasan sekitarnya banjir tetapi sifat airnya yang jernihlah yang mencipta kekaguman. Diiringi lafaz membesarkan Allah, tidak ramai yang dapat menjelaskan sama ada air di luar binaan itu berlumpur dan berbeza dengan limpahan yang memenuhi ruang solat masjid atau tetap sama jernihnya.

Memanglah sangat tidak mustahil berlaku keajaiban, apatah lagi masjid ialah tempat yang suci dan lazimnya terpelihara daripada salah silap dan noda.

Tidak ada Muslim yang waras tergamak mencipta dosa di masjid. Membuka aurat di pintu pagar masjid saja pun orang gerun, apa lagi berbohong dan melabun hal-hal yang sia-sia.

Kecuali mereka - mungkin kerana sudah terlalu biasa - mula percaya bahawa halal untuk berbohong demi agama dan bangsa. Misalnya membuat tuduhan tanpa usul periksa, menokok tambah fakta sesedap rasa dan mencari permusuhan atas nama Islam.

Berikut adalah beberapa perkara menarik yang dapat diperhatian semasa dan selepas banjir Pulau Pinang:

Bagi sesetengah pendakwah banjir besar di Pulau Pinang adalah jawaban kepada pesta makan minum Jerman setiap Oktober. Di dalamnya arak dihidangkan. Maka celakalah mana-mana daerah atau wilayah yang membenarkan penganjurannya - kecuali di negeri yang bukan ditadbir DAP.

Tidak ada orang Islam yang waras boleh gembira dengan program itu. Arak memang punca kepada banyak masalah dan bencana. Kerana itu Islam mengharamkannya.

Oktoberfest diadakan di Pulau Pinang dan ketua menterinya hadir tetapi setakat ini tidak ada sebarang maklumat ia disertai orang Islam. Majlis itu juga diadakan secara tertutup.

Namun Oktoberfest diadakan jua. Dan natijahnya Pulau Pinang dilanda badai dan gelora. Cuma tidak dapat dijelaskan mengapa negeri lain - seperti Johor yang turut membenarkan Oktoberfest - tidak mengalami nasib yang sama.

Oktoberfest juga tidak diadakan di Kelantan namun ia tidak menjawab mengapa negeri itu pernah dilanda banjir besar. Untuk menggambarkan besarnya banjir itu maka dibinalah tugu peringatan untuknya dengan kos dilaporkan sebanyak RM60,000.

Dalam keadaan Oktoberfest tidak diadakan di mana-mana tanah Kelantan, jambatan Pulau Setelu yang itu jugalah tenggelam dan timbul 'dimainkan' air Sungai Nenggiri sejak beberapa tahun lalu.

Jika ada terkilan yang berbuku di hati, banjir inilah masanya. Limpahan air, tanah runtuh dan pokok tumbang adalah jawaban kepada sakit hati DAP kepada PAS.

Masa untuk muhasabah

Tapi Pulau Pinang pun janganlah buat tak tahu saja. Pulau Pinang bukanlah maksum. Ada banyak dosa yang perlu ditebus semula sama ada secara dalaman atau luaran.

Projek-projek pembangunan harus dinilai, keserakahan kepada material perlu dihalusi dan kesombongan wajib dipadamkan.

Menghubungi seorang timbalan perdana menteri pada waktu paling enak melelapkan mata adalah tindakan yang mengisyaratkan suatu kegagalan.

Anda boleh kata apa saja dan mencari dalil di mana-mana untuk menghalalkan setiap yang dilakukan oleh kerajaan negeri, tetapi ia ibarat sebiji bola padat berisi angin yang dibaling ke dinding. Setiap lontaran akan dibalas dengan lantunan semula ke arah si pembaling.

Jihad melawan musuh Islam

Bahawa banjir besar dan angin kencang itu adalah kesan cabulnya pendekatan DAP kepada Melayu dan Islam adalah bukti bahawa PAS tidak perlu berubah apa-apa.

Penceramah-penceramah yang memberi kuliah di masjid atau surau boleh saja terus menyeranah. Kalau tersasul sangat, minta maaf. Kalau tidak, cukup didiamkan saja.

Andai ada akaun Facebook, gunakanlah "admin" untuk membetulkan fakta yang terlebih goreng. Tidak perlu meminta maaf. Ulama mana boleh menunduk kepada DAP.

Tidak cukup dengan itu, kalau perlu buat protes depan masjid lepas sembahyang Jumaat. Jika ada yang banyak soal atau menyanggah, penampar adalah jawabannya.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man boleh dipuji kerana bertindak pantas mengarahkan jentera PAS turun padang membantu mangsa di Pulau Pinang. Memang dalam kebanyakan masa dia selalu terkedepan berbanding pemimpin lain dalam PAS.

Dia adalah antara orang terawal yang membuat kenyataan terbuka dan menghulurkan tangan kepada Pulau Pinang di sebalik perseteruan di antara kedua-dua parti. Kecekapan itu khabarnya sempat membuat orang Parti Amanah Negara (AMANAH) 'cemburu' apabila bantuan mereka sedikit lambat mendapat perhatian.

Kelantan juga boleh dipuji kerana mengumumkan segera bantuan kewangan. Berapa pun jumlahnya ia adalah simbol kebersamaan yang layak dihargai.

Tapi masalahnya itulah. Bagi PAS secara keseluruhan, berdasarkan langkah pencak parti itu dalam politik mereka tidak perlukan kepantasan. Kadang-kadang nampak selesa benar mereka berpusing-pusing memandu di sesebuah bulatan.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS