Nazri: Telanjang bogel lebih baik dari pakai tudung?

   

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz hari ini mempersoalkan sama ada lebih baik bagi pekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (fontdesk) sesebuah hotel di negara ini berbogel daripada memakai tudung.

“Adakah telanjang bogel lebih baik dari kita pakai tudung di kaunter,” kata Nazri pada sidang media majlis pra-pelancaran Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur (KLICF) 2017 di bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau yang terkenal dengan kelantangannya itu turut menyifatkan kenyataan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung sebagai kurang ajar dan satu diskriminasi.

“Kurang ajar dan tidak bertanggungjawab.

“Datang negara orang hormatlah sikit. Apa yang ada dalam kita punya akta ini.

“Ini merupakan satu bentuk diksriminasi kerana dalam Perlembagaan jelas mengatakan tidak boleh berlaku diskriminasi atas apa alasan sekalipun sama ada agama (atau) bangsa,” kata Nazri.

Kontroversi tercetus apabila Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendakwa ada pekerja hotel wanita yang mengadu mereka diarahkan menanggalkan tudung.

Menurut Uni-MLC, larangan serupa turut dikenakan ke atas pelajar yang menghadiri kursus perhotelan dan pelancongan apabila mereka membuat permohonan untuk latihan praktikal.

Namun, MAH yang mempertahankan tindakan hotel berkenaan berkata ini adalah sebahagian daripada dasar antarabangsa dan setiap hotel mempunyai prosedur operasi piawai (SOP) masing-masing.

Tunjuk bukti SOP antarabangsa

Mengulas lanjut, Nazri yang juga anggota parlimen Padang Rengas berkata MAH perlu menunjukkan bukti ia merupakan SOP syarikat terutamanya dari rangkaian antarabangsa.

"Kita mempunyai undang-undang tubuh. Kita melihat kalau benar ini merupakan satu arahan atau satu SOP, maka dia telah melanggar kita punya Perlembagaan Malaysia.

"Di setiap negara punyai undang-undang tubuh, apa aktiviti dilakukan tidak boleh bertentangan dengan Perlembagaan. Jadi kalau benarlah itu SOP nya saya rasa itu kurang ajar.

"Datang negara orang hormatlah sikit apa yang ada dalam kita punya akta ini," tegas Nazri.

Bagaimanapun, Nazri berkata beliau tidak percaya wujud amalan sedemikian dalam polisi antarabangsa.

"Saya tidak fikir syarikat antarabangsa (buat larangan). Saya tidak percaya. Alasan diberikan MAH adalah tidak betul. Saya hendak tahu kalau boleh mereka tunjuk," katanya lagi.

Mengulas apakah perlu pihaknya menarik lesen perniagaan hotel terlibat, Nazri berkata kementeriannya tidak mempunyai kuasa mengenainya kerana ia di bawah bidang kuasa Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Manakala lesen sesebuah hotel pula dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), kata Nazri.

"Kita tak pernah terima aduan kepada kita. Lagipun tanggungjawab kita (kementerian pelancongan) hanyalah memberi penarafan lima bintang atau tidak. Dan penarafan tidak berdasarkan kepada pakaian tetapi kepada kemudahan yang wujud.

"Jadi kerajaan tempatan kena bertegaslah bahawa tidak boleh membenarkan syarikat beroperasi di sini (melarang pekerja pakai tudung)," katanya lagi.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

VOIZ

Berita Terhangat