Paling Popular
Terkini
story images
story images

Sekumpulan anak Muda akan melakukan rapat umum dan perarakan bagi memperingati ulang tahun penubuhan Angkatan Pemuda Insaf (API) ke-71, sekali gus menyemarakkan semangat golongan muda yang kini dilihat berputus asas dalam politik.

Menggelar diri mereka sebagai 'Malaysia Muda', kumpulan itu bakal memakai kemeja putih dengan lilitan merah di lengan kiri - sama seperti seragam API yang diasaskan pejuang kemerdekaan berhaluan kiri, Ahmad Boestamam.

Menurut jurucakap Malaysia Muda, Amir Hadi, kumpulan itu akan berarak pada 23 Disember di Kuala Lumpur

Bagaimanapun beliau menegaskan perarakan itu bukanlah demonstrasi sebaliknya sebuah "pementasan semula" bagi mengenang sejarah.

"Jika berlaku halangan saya tak boleh menolak ia akan menjadi satu demonstrasi tapi sekarang ini tujuan kita bukan nak demonstrasi tapi nak angkat sejarah," katanya dalam sidang media di Warung Pak Amjal, Kerinchi Kuala Lumpur.

Amir juga menafikan kumpulan itu terlibat dengan mana-mana parti politik, sebaliknya mengajak anak muda yang sudah muak dengan politik untuk bersama mereka.

"Kumpulan ini tak didukung mana-mana parti politik, tak terlibat dengan mana-mana individu yang terlibat dengan parti politik dan tak ada afiliasi dengan parti politik. Inilah gerakan anak muda kita, harapan kawan-kawan kita yang tak sertai parti politik boleh bersama kita," katanya.

'Pemuda mahu semangat API'

Ditanya mengapa kecewa dengan parti-parti politik, Amir berkata ramai yang meletak harapan kepada pembangkang selepas Pilihan Raya Umum 2008, namun tindakan mereka - meskipun lebih baik dari BN -dilihat hampir sama dengan kerajaan pusat .

"Pembangkang dah jadi 'mainstream' dan memang sifat anak muda untuk tak berapa gemar dengan perkara yang dah jadi 'mainstream'.

"Maka pemuda lemau, selain dari faktor ekonomi yang teruk kita seakan hilang harapan. Ramai yang terpaksa berjuang untuk diri sendiri, survival diri sendiri tanpa ada masa untuk fikir pasal orang lain.

"Jadi kita tak perpatisipasi lagi atau mungkin kalau ada pun amat kurang," katanya.

Mengenai mengapa API dipilih, Amir berkata sayap pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) itu merupakan sebuah gerakan radikal yang disertai golongan muda, selepas Kesatuan Melayu Muda (1938) diharamkan oleh British.

"Namun radikal dalam konteks ini lebih besar. Radikal juga membawa kepada etimologi yang berbeza, sebagai 'roots', mengakar.

"Perjuangan API juga berbeza, dahulu musuhnya jelas (adalah) penjajah. Tapi sekarang musuhnya berbeza. Kurang sesuai kalau kita nak jadi API. API dah tak ada dan dah jadi sejarah. Tapi yang diperlukan pemuda sebenarnya adalah 'semangat' yang dibawa API. Bukan menjadi API tu sendiri," jelasnya.

Rakyat berhak tahu sejarah

Hadir sama dalam sidang media itu ialah bekas aktivis peguam, Fadiah Nadwa Fikri, aktivis mahasiswa Anis Syafiqah Mohd Yusof dan aktivis politik, Jay Jay Dennis.

Sementara itu, Fadiah ketika ditanya mengenai mengapa memilih API, yang diharamkan British setahun selepas penubuhannya pada 1946 berkata:

"API adalah golongan pemuda yang bangkit zaman penjajahan British di zaman kemerdekaan. Kita mahu suntik kembali semangat ini di mana anak muda dapat hidup dalam Malaysia yang lebih baik.

"Ini adalah sejarah kita, kita akan ambil naratif ini untuk bentuk kesedaran. Semua rakyat Malaysia berhak tahu sejarah kita," jelasnya.

Penubuhan API yang disifatkan oleh British sebagai pertubuhan yang radikal berjaya membentuk dan menyatukan pelbagai persatuan dan parti politik seperti Majlis Tindakan Bersama Seluruh Tanah Melayu (AMCJA), Malayan People’s Anti Japanese Army Ex-Services Comrades Association (MPAJESCA), Pan-Malaya Federation Union (PMFTU), New Democratic Youth League (NDYL), Malayan Democrate Union (MDU), Women Federation, Malayan Indian Congress (MIC), dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) untuk membentuk Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) pada 1947.

Kebanyakan tokoh yang mendukung API turut aktif dalam politik seperti Ahmad Boestamam sendiri yang menjadi Anggota Parlimen Setapak pada 1959 dan Tun Ghabar Baba yang menyertai Umno pada 1951 sehingga dilantik sebagai timbalan perdana menteri dari 1986 hingga 1993.

Lihat Komen
ADS