Belajar lintasi batasan kaum
Sebelum mengorak langkah mencatat sesuatu gelanggang 'Bumi Dipijak' di malaysiakini, rasanya perlu saya menulis sedikit-sebanyak tentang kolum ini dan diri saya.
Kolum ini diambil sempena peribahasa Melayu 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung' dan ia juga membawa makna bertapak atas realiti masyarakat. Tidak kira sama ada hujan emas perak atau hujan keris lembing, kita harus berani untuk menghadapinya.
Sekali-kali jangan terapung-apung dalam dunia khayalan yang ideal.
Saya berasa bangga dapat menggembleng tenaga bersama malaysiakini, untuk turut bersaing bagi menghadapi monopoli dan manipulasi media arus perdana. Saya sedar media bebas seperti ini harus mengatasi pelbagai rintangan.
Sebagai seorang pengulas hal-ehwal semasa yang telah menulis selama puluhan tahun, saya fikir nama saya tidak asing lagi di kalangan pembaca akhbar berbahasa Cina. Namun, dalam media berbahasa Melayu, nama saya masih setahun jagung.
Ironisnya ialah seawal tahun 60-an lagi, saya telah menguasai Bahasa Melayu, malah buku pertama yang saya tulis bertajuk Introduksi Kepada Ilmu Falsafah (1974) juga diedit dalam Bahasa Melayu.
Keadaan ini mungkin menunjukkan betapa sukarnya melintasi batasan bahasa dan kaum dalam negara kita yang jarang berinteraksi antara satu sama lain.
Justeru saya mengambil inisiatif untuk menawarkan diri sebagai penulis ruangan di malaysiakini, dan ia rupa-rupanya mendapat sokongan yang menggalakkan daripada sidang pengarang akhbar web ini sendiri.
Saya dilahirkan pada zaman pemerintahan tentera Jepun. Ayah saya dibunuh oleh tentera negara matahari terbit itu. Keluarga saya sangat miskin tetapi ibu mementingkan pendidikan anak-anaknya. Oleh itu, saya berpeluang melanjutkan pendidikan tinggi di Universiti Nanyang, Singapura selama tiga tahun bermula 1964.
Dilarang ke Singapura
Sebagai seorang aktivis yang memperjuangkan autonomi universiti dan pendidikan ibunda, saya dan ramai lagi siswa Universiti Nanyang telah dipecat, diburu dan diusir keluar daripada Singapura oleh regim Perdana Menteri waktu itu, Lee Kuan Yew pada tahun 1966.
Hingga kini, saya masih dilarang memasuki Singapura.
Sekembali ke tanahair, saya menyertai Kesatuan Pekerja-pekerja Ladang Malaya Bersatu sebagai setiausaha kesatuan sekerja itu. Saya dihantar ke Ladang Bukit Asahan untuk memimpin perjuangan pekerja, dan akibatnya saya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama tujuh tahun bermula 1967.
Setelah dibebaskan, saya terus aktif dalam bidang pendidikan, politik dan sosial sehingga kini.
Pendek kata, saya yakin masyarakat yang lebih adil, demokratis dan progresif tentu akan berjaya diwujudkan jika perjuangan rakyat berbilang kaum terus dipupuk.
Mulai hari ini, LEE BAN CHEN menulis setiap Rabu dalam kolumnya 'Bumi Dipijak'
