Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Isu pertikaian hak milik Wisma Tok Guru di Kota Bharu, menjadi tumpuan di Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu, hari ini apabila Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa mengemukakan injunksi terhadap pemilik tanah baru tanah Mohd Yasin Yusoff.

Kamar perbicaraan dipenuhi penyokong PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH) sejak jam 9 pagi tadi.

Bagaimanapun Pesuruhjaya Hakim Datuk Ahmad Bache menetapkan prosiding dimulakan semula jam 2.15 petang nanti.

Husam diwakili peguam daripada tetuan Zayumi Murtadza & Co, manakala Mohd Yasin diwakili Tetuan Wan Jawahir & Takiyuddin.

Terdahulu, Ahmad pada awalnya mendengar sebutan kes pihak pendakwaraya sebelum memanggil peguam yang mewakili kedua-dua pihak ke kamarnya.

Difahamkan, kedua-dua pihak melalui peguam masing-masing pada awalnya ditawarkan menyelesaikan isu di luar mahkamah.

Bagaimanapun, gagal mendapat persetujuan bersama dan peguam Husam mahu meneruskan perbicaraan.

Terdahulu, PAS menegaskan notis supaya Husam keluar daripada premis tersebut sudah tamat pada 12 November lalu.

Isu perebutan tanah itu bermula susulan tanah yang asalnya milik bekas ADUN Salor, allahryarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim menggunakan nama isterinya dijual kepada Mohd Yasin yang juga setiausaha kerja PAS Kelantan dengan harga RM700,000.

Sebagai rekod, tanah itu pada awalnya menempatkan pejabat Ahmad Rosli sebagai ADUN Salor dan kemudiannya diserahkan kepada Husam sebagai ADUN baru pada 2008.

Husam yang juga naib presiden AMANAH mendakwa beliau diberi keizinan oleh Ahmad Rosli untuk membina bangunan tambahan baru di tanah tersebut.

Sementara itu, Ahmad menetapkan esok bagi keputusan permohanan injuksi Husam itu.

Ketua peguam yang Husam, Zaidan Ali berkata, permohonan anak guamnya itu bagi menghalang bangunan berkenaan daripada sebarang gangguan sehingga status quo pemilikannya diputuskan mahkamah dalam perbicaraan selepas sebutan kes pada 4 Disember depan.

"Anak guam kami merasakan ini satu penganiayaan tidak adil kerana mempunyai hak ke atas bangunan yang dibina atas tanah tersebut.

"Kita juga merasakan defendan tidak mempunyai keperluan segera terhadap premis tersebut, sedangkan anak guam kami menduduki bangunan itu yang dijadikan sebagai pejabat ADUN Salor," katanya ketika ditemui media.

Terdahulu, Husam menfailkan tuntutan deklarasi pada tiga minggu lalu untuk mendapat pengesahan daripada mahkamah bahawa beliau berhak ke atas bangunan tersebut.

Sementara itu, peguam utama mewakili defendan, Datuk Takiyuddin Hassan pula berkata, penghujahan pihaknya bersandarkan Kanun Tanah Negara 1965 sebagai pemilik tanah yang sah di sisi undang-undang.

"Mengikut undang-undang tanah, pemilik tanah mempunyai hak terhadap apa sahaja yang ada di atas dan di bawah tanah tersebut," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS