Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Saya ingin mengulas mengenai langkah DBP mengenakan denda RM1,000 kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah menggunakan bahasa Melayu yang tidak betul termasuk iklan atas talian sekiranya pindaan kepada Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996 diluluskan di parlimen.

Pada dasarnya, saya menyambut baik cadangan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan di negara ini.

Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu adalah milik bersama dan seharusnya menjadi kebanggaan semua.

Selama ratusan tahun, jika bukan ribuan, bahasa Melayu telah berkembang dan terus kekal sebagai antara bahasa dengan bilangan penutur jati terbesar di dunia.

Salah satu kelebihan bahasa Melayu adalah kemampuannya untuk berkembang secara organik dengan menyerap dan memberi pengertian baru daripada bahasa asing.

Sejak dari zaman interaksinya dengan Hindu-Sanskrit sehingga ke pertembungannya dengan bahasa Arab, Parsi, Inggeris dan sebagainya, bahasa Melayu terus berkembang dan mengukuh.

Kini, kita seakan lupa bahawa istilah “dosa”, “pahala”, “syurga”, dan “neraka” bukanlah datang daripada Arab tetapi Sanskrit – namun bahasa Melayu telah memaknakannya dengan maksud dan falsafahnya yang tersendiri.

Maka dengan demikian bahasa kita ini semakin diperkayakan.

Harus diakui untuk ratusan tahun bahasa Melayu bukan sahaja mampu bertahan, malahan terus berkembang maju tanpa ada sebarang institusi yang mengawal selia perkembangannya.

Hal ini bukanlah sesuatu yang aneh kerana demikianlah sifatnya bahasa – sentiasa berinteraksi secara organik dengan kebudayaan di sekelilingnya.

Malah, dengan cara inilah bahasa Melayu berkembang bukan sahaja sebagai bahasa pertuturan harian, malahan mampu mengungkapkan kesusasteraan yang tinggi mutunya dan menjadi bahasa ilmu terkini.

Tanpa perlu menafikan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam mengembang dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kita harus berlaku jujur dengan diri kita dengan bertanyakan, di manakah silapnya kita sehingga kini kita terpaksa memilih jalan undang-undang untuk mewajibkan penggunaan bahasa Melayu yang baik?

Tidakkah penguatkuasaan ini kelak akan bermasalah bukan sahaja kepada “bukan penutur jati” malahan juga kepada “penutur jati” yang gagal mengikut hukum tatabahasa rasmi?

Bagaimana pula dengan mereka yang tidak menggunakan bahasa Melayu baku seperti di Kedah, Kelantan, dan Pulau Pinang?

Adakah kelak, dialek negeri akan dianggap sebagai pelanggaran bahasa?

Jangan-jangan kegagalan kita untuk mengangkat bahasa Melayu ke tahap yang kita hasratkan kini sebenarnya berakar daripada dualisme kerajaan Persekutuan sendiri.

Pada satu sisi, kerajaan kita melaungkan slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” dan menggertak peniaga yang gagal mempamerkan bahasa Melayu rasmi serta mencemuh anak muda yang berbahasa rojak sebagai hilang jati diri.

Namun, pada masa yang sama, kerajaan sendiri semakin memberatkan bahasa Inggeris dan meminggirkan bahasa Melayu secara perlahan-lahan.

Siapa yang mempopularkan istilah bajet, sedangkan kita telah pun punya istilah yang sedia mantap – belanjawan?

Siapa yang memilih untuk menggunakan istilah urban transformation centre (UTC) berbanding pusat transformasi bandar?

Siapa yang lebih melazimi Government Transformation Programme (GTP) berbanding Program Transformasi Kerajaan?

Maka, jika DBP ingin menguatkuasakan denda kepada mereka yang gagal menggunakan bahasa kebangsaan, adakah DBP akan mula dengan mendenda kerajaan persekutuan?

Justeru, kerajaan harus mengkaji semula kewajaran undang-undang yang hanya akan meletakkan kekangan ke atas bahasa kebangsaan, dan sebaliknya menggalakkan penggunaan bahasa dengan cara yang lebih semula jadi dan berpandukan kepada insentif.


ZAIRIL KHIR JOHARI anggota parlimen Bukit Bendera, penolong setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP merangkap jurucakap parlimen DAP untuk hal ehwal pendidikan, sains dan teknologi.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS