Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lesen hotel sekat staf bertudung boleh ditarik balik
Diterbitkan:  Nov 15, 2017 2:26 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Kerajaan hari ini mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menarik balik lesen pengusaha hotel jika mereka didapati melarang pekerja wanita beragama Islam memakai tudung.

Keputusan itu diumumkan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar hari ini.

"PBT diarah tarik balik lesen pengusaha hotel tidak benarkan pekerja wanita Islam memakai tudung," kata Noh dipetik Bernama.

Isu larangan pekerja wanita Islam yang bertugas di bahagian depan hotel mengenakan tudung menjadi perhatian beberapa hari lalu apabila Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) membuat pendedahan mengenainya.

Menurut Uni-MLC, larangan serupa turut dikenakan ke atas pelajar yang menghadiri kursus perhotelan dan pelancongan apabila mereka membuat permohonan untuk latihan amali.

Namun, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang mempertahankan tindakan hotel berkenaan dan berkata ia sebahagian daripada dasar antarabangsa dan setiap hotel mempunyai prosedur operasi piawai (SOP) masing-masing.

Langgar hak asasi

Berang dengan kenyataan itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz mempersoalkan sama ada lebih baik bagi pekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan sesebuah hotel di negara ini berbogel daripada memakai tudung.

“Adakah telanjang bogel lebih baik dari kita pakai tudung di kaunter?” katanya semalam.

Sementara itu BH pula melaporkan Noh sebagai berkata, larangan seumpama itu bertengangan denan perlembagaan serta menyalahi hak asasi manusia.

"Sebagai orang Islam, wanita wajib pakai tudung walaupun dia bekerja di rangkaian hotel antarabangsa.

"Kalau di peringkat antarabangsa pun, dia (pengusaha hotel) perlu lebih rasional.

"Mereka memperjuangkan hak kebebasan beragama, berpakaian, bersuara, malah turut perjuangkan hak berkahwin, khususnya dalam kalangan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender), takkanlah nak benarkan wanita Islam bertudung tak boleh?" katanya di Ipoh, Perak.

Noh sebelum itu melawat dua anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh, Shazlan Mohd Hanafiah, 32, dan Mohd Azri Aziz, 30, di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Shazlan dan Mohd Azri mengalami kecederaan parah akibat disambar api semasa bertugas memadam kebakaran silo di sebuah kilang membuat papan lapis di di Tasek Sabtu lalu.

Kata Noh lesen pengusaha hotel terletak di bawah bidang kuasa PBT.

"Saya minta PBT yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen hotel ini, kalau benar aduan ini kita dapati, saya sarankan supaya PBT itu tarik balik lesen yang dikeluarkan," katanya.

Lihat Komen
ADS