Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Orang ramai dinasihat supaya tidak terlalu jujur dan "menipu sikit-sikit" untuk mengelak menjadi mangsa penipuan jenayah siber.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari berkata ada pelbagai kaedah digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menghubungi pengguna sebelum memperdaya mereka.

Justeru katanya orang ramai wajar lebih berhati-hati apabila dihubungi pihak tidak dikenali atau mencurigakan.

"Apabila kita diminta untuk melanggan apa-apa pun jangan beri maklumat secara jujur.

"Kita boleh tipu-tipu sikit untuk mengelak kejadian (tidak diingini) berlaku," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Jailani berkata demikian pada sesi soal jawab dan memberi reaksi kepada pertanyaan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah).

Jangan mudah menekan

Dalam soalannya Ikmal Hisham bertanya kesahihan laporan ada syarikat telekomunikasi menjual data peribadi pelanggan masing-masing.

"Sejauh mana laporan ini benar? Apakah tindakan yang diambil terhadap syarikat terbbait.

"Kita tak mahu dapat panggilan (daripada orang tidak dikenali) tiba-tiba. Macam mana mereka dapat nombor telefon kita?" katanya.

Menurut Jailani ada beberapa teknik digunakan untuk pihak terbabit memperoleh maklumat berkaitan nombor telefon seseorang.

Antaranya kata anggota parlimen Hulu Terengganu itu, ialah penggodaman, mencuri komputer riba atau telefon pintar, menyamar atau manipulasi maklumat di media sosial.

"Sebenarnya apabila kita bercakap tentang jenayah siber, mereka beroperasi secara licik.

"Dulu mereka bergerak secara bersendirian, sekarang sindiket. Mereka mempunyai modus operandi sendiri," katanya.

Oleh sebab itu katanya pengguna perlu mengamalkan sikap teliti dan tidak menekan sebarang pautan yang ada dalam internet jika ia nampak meragukan.

Lihat Komen
ADS